Selasa, 28 Oktober 2014

Kolaborasi Dalam Pendidikan Khas

1.0  Pengenalan

      Menelusuri arus pemodenan masa kini, Pendidikan Khas di negara kita merupakan suatu bentuk pendidikan yang tidak asing lagi dikalangan masyarakat. Pendidikan ini merupakan suatu bentuk revolusi pendidikan yang dilaksanakan bagi menyediakan perkembangan yang optimum kepada kanak-kanak yang memerlukan keperluan-keperluan khas demi menjadikan mereka insan yang berkemahiran, berdikari, dan boleh menguruskan kehidupan seharian mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

      Walau bagaimanapun, setiap kejayaan yang dikecapi melalui pendidikan ini sudah pasti ada tulang belakangnya yang memainkan peranan penting. Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak pendidikan khas atau kanak-kanak bekeperluan khas memerlukan perhatian, keperluan dan bantuan yang berbeza mengikut kepada masalah yang mereka hadapi. Oleh itu, peranan guru sahaja sudah pasti tidak dapat membantu kanak-kanak ini secara menyeluruh. Dalam konteks ini, kita fokuskan pada kolaborasi yang dilakukan oleh pelbagai pihak demi memastikan kanak-kanak istimewa ini mencapai puncak kejayaan mereka dalam kehidupan.

      Apakah yang dimaksudkan dengan kolaborasi? Kolaborasi dalam bidang Sains Politik dan Pentadbiran Perniagaan bermaksud kerjasama. Manakala, takrifan Kamus Dewan Edisi 4 pula hanya memberikan satu maksud sahaja iaitu bersubahat dengan musuh tetapi jika kita lihat pada penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, penggunaan kolaborasi digunakan sebagai perkataan yang membawa maksud ‘bekerjasama’ (dalam Hj. Zulkiply Bin Hj. Yaakob. 2009).

      Dalam tugasan ini, saya telah mengupas kolaborasi yang dilakukan dalam pelbagai pihak dan peranan yang sepatutnya mereka lakukan untuk kanak-kanak istimewa secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.


2.0  Kolaborasi Pelbagai Pihak

2.1 Ibu bapa
      Ibu bapa merupakan tunggak utama dalam mencorakkan anak-anak mereka. Hal ini demikian, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa jelas memainkan peranan yang penting dalam pengesanan tanda-tanda awal atau respon yang tidak normal anak-anak mereka. Mengapa? Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak ketika mereka kecil sehinggalah mereka dewasa.
      Dalam konteks ini, kita fokuskan pada peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam mengesan sebarang tindak-tanduk anak yang diluar daripada kebiasaan kanak-kanak normal. Apa? Ibu bapa sepatutnya lebih peka dengan perangai yang ditunjukkan anak-anak mereka sejak awal lagi iaitu memerhati dan mengesan kelemahan atau kekurangan anak mereka bermula daripada peringkat awal. Disini ingin ditegaskan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya mengambil mudah perkembangan anak mereka. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan sahaja anak mereka sekiranya mereka dapat mengesan apa-apa yang diluar kebiasaan kanak-kanak normal. Tahukah anda bahawa pengesanan awal kecacatan dapat membantu anak-anak tersebut memulihkan kecacatan yang dihadapinya? Ya, sudah tentu kecacatan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut dapat dirawat di peringkat awal sekiranya pengesanan dapat dilakukan dengan lebih awal walaupun rawatan yang dijalankan tidak menjamin kanak-kanak tersebut sembuh dan menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.
      Anak ibarat sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Pada pandangan saya, ibu bapa merupakan penggerak kepada setiap strategi yang dirancang untuk membentuk anak dengan sikap-sikap positif. Mengapa? Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan role model dan setiap tindak tanduk ibu bapa memberi impak yang besar terhadap diri anak-anak. Oleh itu, adalah sangat penting bagi ibu bapa untuk menunjukkan kelakuan yang baik kepada anak-anak agar mereka juga terdorong untuk berkelakuan baik bukan sahaja dikhalayak ramai tetapi dimana-mana sahaja. Menurut  Public Law 94-142 (PL 94-142) (dalam Hj. Zulkiply Bin Hj. Yaakob, 2009):
‘Pendidikan untuk semua adalah bermaksud setiap individu berhak untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira masalah yang mereka hadapi. Oleh itu, kanak-kanak bekeperluan khas juga tidak terkecuali dan mereka layak disediakan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai di dalam kelas atau sekolah khas.’
       Oleh itu, tidak ada sebab untuk ibu bapa mengabaikan anak-anak mereka yang istimewa hanya kerana mereka tidak berkelakuan seperti kanak-kanak normal yang lain. Ibu bapa seharusnya percaya bahawa setiap anak-anak mempunyai kemahiran dan keistimewaannya yang tersendiri. Mereka ibarat permata negara yang seharusnya digali dan diasah bakatnya agar dapat menyumbang dan mengharumkan nama negara suatu masa nanti.
      Seterusnya, kita lensakan pada penglibatan ibu bapa dengan pihak sekolah. Ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah terutamanya guru-guru pendidikan khas ketika mereka melakukan aktiviti. Contoh yang dapat diambil ialah ibu bapa boleh mengetahui setiap perkembangan yang berlaku kepada anak mereka di sekolah melalui guru yang menjaga dan mengajar anak mereka. Selain itu, ibu bapa itu sendiri merupakan guru yang paling baik kerana masa yang dihabiskan ibu bapa bersama anak lebih banyak daripada masa yang dihabiskan anak tersebut dengan guru disekolah. Jelaslah bahawa penglibatan ibu bapa dengan bekerjasama bersama pihak sekolah merupakan satu medium terbaik bagi memacu kegemilangan kanak-kanak bekeperluan khas.

2.2 Pakar Perubatan
      Apabila kita sebut sahaja pakar perubatan, istilah tersebut terlalu umum. Siapakah yang boleh dikategorikan sebagai pakar perubatan? Contoh yang dapat kita lihat ialah seperti Pediatrik, Neurologi, Pakar Terapi, Audiologi, Oftomologi dan banyak lagi. Sebenarnya dalam konteks ini terlalu banyak pakar perubatan yang memainkan peranan penting untuk menjaga keperluan kanak-kanak bekeperluan khas. Setiap pakar perubatan memainkan peranan yang berbeza mengikut kepada kepakaran masing-masing.
      Namun, kepakaran yang berbeza tersebut membawa satu matlamat iaitu membantu kanak-kanak bekeperluan khas dengan mengkaji atau mengenal pasti punca berlakunya kecatatan yang dialami dan seterusnya memberikan rawatan yang sesuai mengikut keperluan kanak-kanak tersebut untuk memulihkan kecacatan yang dialami.
      Pakar perubatan sememangnya suatu medium terpenting bagi membantu kanak-kanak istimewa ini. Hal ini demikian, pakar perubatan merupakan insan pertama yang dirujuk oleh ibu bapa untuk mendapatkan pengesahan atau apa-apa informasi yang tepat mengenai masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Pakar perubatan juga merupakan insan yang dipercayai untuk melakukan sebarang rawatan terhadap kanak-kanak bekeperluan khas dan setiap nasihat dan saranan yang diberikan oleh mereka sudah pasti disambut baik oleh ibu bapa. Oleh itu, pakar perubatan seharusnya menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya. Mereka sepatutnya memberikan kerjasama dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut iaitu memberikan informasi yang tepat agar ibu bapa faham dengan keadaan yang dialami oleh anak-anak mereka. Seterusnya, memberikan beberapa modus operandi yang mudah dan ringkas yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah seperti beberapa jenis terapi mudah yang boleh dilakukan mereka kepada anak mereka. Dengan wujudnya kolaborasi seperti ini, anak-anak bekeperluan khas bukan sahaja tidak diabaikan, malah mereka turut diberi perhatian yang sepenuhnya melebihi daripada apa yang diperlukan.

2.3 Pihak Sekolah
      Sudah terang lagikan bersuluh. Apabila wujudnya pendidikan khas di negara kita, sudah pasti pihak sekolah juga merupakan salah satu medium terpenting bagi memastikan kebajikan dan hak bagi setiap kanak-kanak bekeperluan khas terjamin. Mengapa? Hal ini demikian, menelusuri era pembangunan masa kini, masa kanak-kanak normal mahupun kanak-kanak bekeperluan khas banyak dihabiskan di sekolah. Oleh itu, adalah amat penting bagi pihak sekolah memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya. Apakah peranan yang digalas pihak sekolah?
      Secara zahirnya, pihak sekolah sepatutnya menyediakan kemudahan infrastruktur yang sesuai dengan keperluan kanak-kanak bekeperluan khas. Hal ini demikian, keperluan mereka berlainan dengan kanak-kanak normal. Justeru, sudah pasti keadaan bilik darjah mereka juga berlainan dan proses pengajian dan pembelajaran untuk mereka juga berlainan jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal yang lain. Dalam konteks ini kita tekankan pada individu yang mentadbir sesebuah sekolah tersebut iaitu pengetua sekolah. Pengetua memainkan peranan penting dalam merangka program-program yang sesuai dengan murid-murid bekeperluan khas iaitu memberikan kerjasama dan sokongan untuk setiap program yang dijalankan. Manakala bagi sekolah biasa pula, mereka tidak sepatutnya mengasingkan kanak-kanak bekeperluan khas dengan kanak-kanak normal. Mengapa? Kanak-kanak bekeperluan khas memerlukan interaksi yang lebih meluas iaitu bergaul dengan kanak-kanak normal agar mereka lebih selesa untuk bergaul dengan dunia luar. Hal ini sekaligus dapat menghakis sikap mereka yang suka hidup dalam dunia mereka sendiri dan seterusnya dapat membantu mereka berhadapan dengan masyarakat luar. Namun, harus diakui, hanya sesetengah perkara atau aktiviti sahaja yang tidak perlu pengasingan.
   
2.3.1 Guru
      Jika kita lihat pada aspek yang berbeza pula, peranan guru juga termasuk dalam konteks ini iaitu guru-guru pendidikan khas sepatutnya berfikiran lebih kreatif dan kritis bagi menarik perhatian para pelajar. Hal ini demikian, kebanyakan kanak-kanak bekeperluan khas mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian dalam jangka masa yang lama. Oleh itu, guru-guru dalam bidang ini perlu lebih peka dan bersikap inovatif dalam melakukan sebarang pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bukankah hanya guru pendidikan khas sahaja yang dilatih untuk kanak-kanak bekeperluan khas? Sudah tentu banyak kemahiran yang perlu dipelajari guru-guru dalam bidang ini bagi memenuhi kriteria yang diperlukan bagi memastikan program pendidikan khas dapat berlangsung dengan lancar.
      Guru penjana kecemerlangan negara. Walaupun hanya guru pendidikan khas sahaja yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak bekeperluan khas, ia tidak bermakna guru biasa tidak perlu mengambil berat mengenai bidang ini. Hal ini demikian, kolaborasi yang boleh dihasilkan antara guru biasa dan guru pendidikan khas sudah terang lagikan bersuluh memainkan momentum yang penting bagi memastikan sesuatu program yang dijalankan itu lancar. Tambahan lagi, mereka boleh bertukar-tukar idea, bahan mengajar dan sekaligus menjimatkan masa.  Rundingan yang dijalankan antara guru pendidikan khas dan guru biasa juga perlu diberi penekanan dalam konteks perkongsian tanggungjawab dan autonomi yang adil antara mereka. Mengapa? Hal ini demikian, perbincangan yang dilakukan adalah penting bagi menghasilkan sistem pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar berkenaan.  
      Selain itu, sudah menjadi tanggungjawab seorang guru untuk sentiasa memberikan respon positif iaitu termasuk membantu ibu bapa menilai masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak bekeperluan khas tersebut. Bagaimana? Seorang guru sepatutnya lebih peka dengan membantu ibu bapa untuk melibatkan diri mereka dengan lebih efektif dan bijak dalam program-program yang dijalankan untuk anak-anak mereka. Tahukah anda? Bahawa kolaborasi yang terhasil antara guru dan ibu bapa mampu melahirkan empati terhadap ibu bapa kanak-kanak bekeperluan khas berkenaan. Tambahan lagi, pada hemat saya, seorang guru juga perlu berusaha dengan lebih gigih iaitu dengan memberi laporan mengenai perkembangan positif berbanding laporan negatif mengenai kanak-kanak bekeperluan khas berkenaan dengan lebih kerap. Bukan niat untuk menipu, tetapi mereka sepatutnya bersikap husnuzon iaitu bersangka baik dengan setiap tingkah laku yang dilakukan oleh kanak-kanak berkenaan. Mungkin ada tingkah laku tersebut yang dilakukan secara tidak sengaja. Wujud juga modus operandi yang lain iaitu guru pendidikan khas perlu kerap bertemu dengan ibu bapa secara berkumpulan mahupun individu bagi membincangkan masalah yang timbul. Tidak melepaskan batuk ditangga. Setiap perbincangan mengenai masalah yang timbul mestilah ada jalan penyelesaiannya.
      Oleh itu, jelaslah bahawa penglibatan seorang guru dalam kolaborasi bersama pihak-pihak tertentu merupakan momentum terbaik yang dapat dilakukan bagi masa depan yang cerah kanak-kanak bekeperluan khas berkenaan kelak.

2.4 Jabatan Kebajikan Masyarakat
      Dalam konteks ini, kita perluaskan skop permandangan kita pada warga kurang upaya iaitu tidak tertakluk pada kanak-kanak bekeperluan khas sahaja. Seperti yang diketahui umum, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  merupakan salah satu badan yang memberi perkhidmatan kepada warga kurang upaya dengan keperluan-keperluan yang bersesuaian berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Apakah syarat-syarat tersebut? Syarat-syarat tersebut merangkumi kepada mereka yang mendaftar dengan JKM sahaja yang layak diberi bantuan. Mengapa perkhidmatan  disediakan JKM? Secara umumnya, perkhidmatan yang disediakan adalah bertujuan utuk menolong golongan yang memerlukan terutamanya golongan kurang upaya ini agar mereka boleh berdikari untuk kelangsungan hidup mereka tanpa mengharapkan ehsan orang ramai.
      Perkhidmatan yang disediakan oleh pihak JKM juga mampu melahirkan golongan kurang upaya ini sebagai golongan yang produktif seiring dengan keupayaan mereka. Malah, pengenalan Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya juga sedikit sebanyak memudahkan mereka untuk mendapatkan mana-mana perkhidmatan awam dengan cepat. Malah pengenalan kad tersebut juga memudahkan golongan ini mendapatkan peluang pekerjaan di sektor awam mahupun swasta. Seperti yang kita lihat, bukankah kolaborasi yang ditampilkan oleh pihak JKM melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan membantu memudahkan segala urusan golongan ini? Malah, kebajikan mereka turut terbela.
2.5 Badan Bukan Kerajaan (NGO)
      Dalam aspek yang berbeza, seperti yang kita lihat sebelum ini, kolaborasi banyak dilakukan oleh pihak-pihak yang bernaung dibawah kerajaan. Namun, jangan pula dilupakan dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh NGO yang bertungkus lumus membantu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Harus dinyatakan disini bahawa setiap aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan mereka tidak menggunakan wang kerajaan. Malah, mereka sanggup berhabis duit bagi memastikan aktiviti yang dirancang dijalankan dengan lancar. Kolaborasi melalui pihak ini merupakan suatu modus operandi yang diberi nafas baharu iaitu bersifat lebih mesra pengguna. Mengapa? Hal ini demikian, aktiviti yang dilakukan oleh badan ini melibatkan semua pihak seperti ibu bapa, guru, pihak sekolah mahupun kementerian pelajaran sendiri. Pada pandangan saya, aktiviti yang dianjurkan seperti kempen-kempen dan sebagainya juga mampu membuka mata masyarakat untuk turut menerima kehadiran kanak-kanak bekeperluan khas ini dalam kehidupan seharian mereka.
      Selain itu, aktiviti yang dilakukan mereka juga selalunya mendapat sambutan hangat pelbagai pihak sekaligus memberi peluang kepada pihak-pihak lain yang berminat dan tidak pernah berpeluang mendekati kanak-kanak ini untuk turut membantu menjayakan aktiviti yang ingin dianjurkan. Bukankah lebih ramai lebih bagus? Lebih banyak pihak yang membantu, lebih baiklah mutu perkhidmatan atau bantuan yang diterima oleh kanak-kanak bekeperluan khas ini. Malah, ibu bapa juga tidak merasa terbeban dan terus-terusan menyalahkan diri kerana mempunyai anak yang istimewa dan tidak sama seperti kanak-kanak normal yang lain. Peristiwa ‘Tahun Antarabangsa Orang-orang Cacat pada 1986’ sebenarnya telah memberi impak yang hebat kepada pelbagai pihak terhadap pendidikan untuk kanak-kanak bekeperluan khas. Sejak itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memberi kesedaran kepada pelbagai pihak mengenai golongan ini. Malah, suatu berita gembira apabila bilangan kanak-kanak bekeperluan khas yang mendaftar di institusi pendidikan juga meningkat.
      Antara contoh NGO yang dapat kita lihat di negara ini ialah Persatuan Kanak-kanak Spastik (Spastic Children’s Association) iaitu merupakan persatuan yang menyediakan intervensi awal kepada kanak-kanak kerencatan mental di antara umur 2-16 tahun. Selain itu, Pusat Bimbingan Sinaran Matahari pula mengajar kanak-kanak bekeperluan khas berkaitan kemahiran hidup dan kemahiran sosial. Manakala Pusat Harian Kanak-kanak Istimewa pula terlibat dengan intervensi awal bagi kanak-kanak di antara 0-6 tahun serta kemahiran hidup untuk kanak-kanak di antara umur 6-16 tahun.

3.0  Rumusan
      Seperti yang telah dikemukakan sebelum ini, kolaborasi melalui pelbagai aspek yang ditampilkan oleh pelbagai pihak merupakan medium-medium penting yang memainkan peranan pentingnya yang tersendiri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Setiap kerjasama yang dilakukan mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Hal ini demikian, tiada yang sempurna didunia ini. Oleh itu, diharapkan pelbagai pihak akan bergabung dan bekerjasama bagi memantapkan lagi institusi pendidikan khas yang wujud selama ini. Kanak-kanak bekeperluan khas merupakan permata negara. Bakat mereka perlu digilap bagi melahirkan barisan insan-insan yang melakukan anjakan paradigma dengan muncul suatu pencapaian yang membanggakan negara.

  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan