1.0 Pengenalan
Syarahan merupakan salah
satu aktiviti berkomunikasi secara lisan yang menuntut seseorang individu itu
menguasai kemahiran dan kebolehan berkomunikasi yang tinggi selain menampakkan
kredibiliti seseorang. Secara zahirnya, aktiviti syarahan yang berkesan dapat
melahirkan barisan individu yang dapat berfikiran secara kreatif dan kritis.
Malah, generasi yang berfikiran secara realistik juga dapat dilahirkan. Jelas
disini dapat kita lihat bahawa syarahan juga merupakan suatu aktiviti yang memberikan
pelbagai faedah.
Tidak semua individu dapat
menyampaikan syarahan dengan baik. Hal ini demikian, tahap kredibiliti
seseorang, tahap intelek dan pemikiran kelas pertama bagi seseorang itu adalah
berbeza. Bukan itu sahaja, keupayaan berfikir secara kritis juga menunjukkan
kewibawaan dan karisma bagi seseorang terutamanya pemimpin. Oleh itu, amat
disarankan bagi para pemimpin menguasai salah satu kemahiran komunikasi secara
lisan ini agar syarahan yang bersifat dinamik dapat disampaikan dengan
sebaiknya.
1.1
Definisi
Syarahan
Apakah yang dimaksudkan
dengan syarahan? Apakah tujuan syarahan disampaikan? Bagaimanakah syarahan
disampaikan? Ya, memang banyak persoalan yang berlegar-legar di ruang pemikiran
kita yang menuntut untuk dihuraikan sehingga ke akar umbi. Sebelum beralih
kepada yang lebih mendalam, definisi bagi syarahan mestilah di fahami dengan
betul agar tiada keraguan yang terus bermain di minda.
Kita lensakan skop
pemikiran kepada definisi syarahan yang paling asas iaitu merupakan suatu
aktiviti yang disampaikan secara individu kepada khalayak ramai untuk
menghuraikan atau menjelaskan sesuatu tajuk ( Khairuddin Mohamad, 2012 ).
Apakah motif aktiviti
syarahan dijalankan? Seperti yang kita ketahui, kemahiran aktiviti syarahan
merupakan suatu kemahiran bagi menguji keupayaan penyampai menyampaikan sesuatu
idea atau pendapat mahupun pandangan mengenai sesuatu kupasan tajuk atau isu
semasa. Bukan itu sahaja, aktiviti ini juga melatih penyampai untuk
menyampaikan sesuatu idea itu dalam pelbagai variasi dari segi intonasi, mimik
muka, bahasa tubuh dan cara pemakaian yang menzahirkan sisi seorang individu
yang penuh berkeyakinan. Justeru, sikap karismatik yang tinggi merupakan suatu
medium terpenting semasa menyampaikan syarahan.
Seterusnya, kita fokuskan
pula perbincangan kita pada tujuan syarahan disampaikan. Terdapat pelbagai
tujuan mengapa sesuatu syarahan itu disampaikan. Pokoknya, sesuatu syarahan itu
disampaikan bukanlah hanya berbual kosong tanpa sebarang faedah yang boleh
diambil. Sebaliknya, syarahan yang disampaikan itu sarat dengan pelbagai
intipati yang boleh dijadikan pedoman dan ukuran. Antara tujuan yang dapat saya
senaraikan disini ialah :-
1.
Menyampaikan
dan menerangkan sesuatu isu kepada khalayak ramai agar ilmu dan pengetahuan
dapat ditambah dan dikongsi bersama.
2.
Medium
bagi memberitahu mengenai sesuatu isu semasa seperti isu yang memberi impak
kepada orang ramai.
3.
Meyakinkan
dan menegakkan pandangan penyampai mengenai sesuatu isu yang disampaikan.
4.
Meraih
perhatian khalayak agar mengambil serius terhadap sesuatu maklumat yang
disampaikan.
5.
Meningkatkan
keyakinan penyampai untuk berbicara di khalayak ramai.
Selain itu, syarahan juga
terbahagi kepada beberapa jenis iaitu syarahan umum, syarahan pertandingan dan
juga syarahan agama. Setiap jenis syarahan ini mempunyai perbezaan yang
tersendiri. Contoh yang jelas kita dapat lihat ialah semasa permulaan bagi
setiap syarahan. Bagi syarahan pertandingan, pada bahagian permulaan, individu
yang memberi syarahan mestilah menyatakan penghargaan pada penjaga masa dan
juga panel juri. Manakala bagi syarahan yang lain pula, penghargaan kepada
penjaga masa dan panel juri tidak diperlukan. Sebaliknya, penghargaan hanya
diberikan kepada pengacara majlis dan juga kepada pihak-pihak tertentu mengikut
audiens yang hadir.
Kesimpulannya, syarahan
merupakan aktiviti komunikasi yang sarat dengan pelbagai kemahiran yang
menuntut diri penyampai untuk menguasai setiap kemahiran secara holistik bagi
memastikan setiap hujah dan idea yang disampaikan dapat diterima dengan baik
dan mudah difahami oleh khalayak. Malah, penyusunan ayat, fakta, gaya
penyampaian, bahasa yang mudah dan jelas juga merupakan elemen-elemen yang
mempengaruhi diri penyampai dalam menyampaikan syarahan dengan baik.
2.0 Teks
Syarahan.
Terima kasih saudara Pengerusi Majlis,
para guru yang dihormati dan seterusnya rakan-rakan siswi pendidik yang
dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Hadirin warga dewan yang dimuliakan,
Hang
Tuah pahlawan gagah perkasa,
Nama terkenal serata negeri,
Tampil
gagah wira perkasa,
Menyulam kata penuh bervisi.
Peribahasa
Melayu ada menyatakan, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”
membawa maksud bahawa kita sebagai manusia sering melakukan sesuatu
bertunjangkan kepada nafsu, emosi dan naluri semata-mata. Kita singkap
peribahasa, “tepuk dada tanya selera” yang sinonim dengan gambaran yang saya
nyatakan sebentar tadi. Sedarsawarsa ini, sama ada kita sedar mahupun tidak di
segenap empat penjuru dunia mengenai kebanyakan tindakan yang telah kita ambil
lebih bermotifkan keinginan nafsu tanpa memanfaatkan akal fikiran yang telah
dianugerahkan Allah SWT kepada kita dengan sebaiknya. Justeru, jika kita lihat
anak bangsa era modenisasi ini kebanyakannya memiliki tahap intelektual yang
tinggi namun sifar dalam hal-hal yang melibatkan insaniah diri. Jangan kita
persoalkan kepada mana-mana pihak akan puncanya. Sebaliknya, tanyalah diri
sendiri adakah kita punca penyebabnya? Saya sebagai wira perkasa, tampil gah
diatas pentas penuh bersejarah ini dengan berpegang kepada panji-panji mauduk
syarahan kita pada hari ini, iaitu “Guru Cemerlang Ummah Terbilang”.
Hadirin yang saya hormati,
Terlebih
dahulu, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya satu persatu. Guru
menurut Kamus Dewan edisi ketiga membawa maksud pendidik, pengajar atau
pengasuh. Manakala, cemerlang pula membawa maksud sesuatu kejayaan yang unggul
dan membanggakan. Seterusnya, ummah pula bermaksud masyarakat atau golongan
manusia yang ramai atau suatu generasi. Akhir sekali, gemilang pula bermaksud
sesuatu perkara yang lebih unggul dan lebih baik daripada sesuatu perkara yang
cemerlang atau lebih mudah saya definisikan sebagai suatu kejayaan yang lebih
baik daripada kejayaan yang cemerlang. Secara holistiknya, dapat dilihat bahawa
maksud bagi tajuk syarahan saya pada hari ini ialah guru yang berkualiti mampu
melahirkan generasi yang baik bukan sahaja dari segi akademik. Sebaliknya, dari
pelbagai aspek seperti kerohanian, peribadi, ko-kurikulum dan sebagainya. Dalam
erti kata lain, guru merupakan momentum terbaik bagi melahirkan insan yang
seimbang dari segi akademik dan rohani seiring dengan tujuan pembinaan negara
bangsa.
Apabila
kita sentuh ungkapan guru cemerlang ummah terbilang yang acap kali meniti di
bibir para hadirin sekalian, izinkan saya memetik surat cinta dari Allah SWT
yang dinukilkan dalam Al-Quran yang bermaksud :
“kamu
adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf
dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah”.
(
Al-Imran:110 )
Tahukah anda apakah maksud tersirat
mahupun tersurat bagi tajuk syarahan pada hari ini? Secara umumnya, saya pasti
ramai golongan pendidik disini tahu makna perkataan cemerlang dan terbilang
lebih baik berbanding saya. Namun, saya persoalkan balik kepada hadirin
sekalian. Apakah kita berusaha sehabis baik bagi mendapatkan sesuatu yang
terbaik dalam hidup kita terutamanya dalam setiap aspek kehidupan? Kita sebagai
pendidik sudah tentu perlu mendapatkan yang terbaik dalam hidup kita. Kemudian,
disusuli pula dengan kehidupan anak didik kita yang sudah tentu perlu lebih
baik dari kita. Suka saya nyatakan sebaris ayat iaitu “ Apabila guru mengajar
kerana gaji, murid belajar kerana peperiksaan. “ Dalam ayat tersebut, apa yang
saya ingin tekankan ialah apabila guru hanya menjalankan proses pengajaran
sebagai kerjaya bagi mendapatkan imbuhan iaitu gaji, murid pula hanya akan
belajar bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan dan bukannya
mengaplikasi serta mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Lebih tepat lagi, proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan hanya
berpaksikan kepada lahiriah semata dan bukannya dari segi insaniah.
Lalu, kamu mempersoalkan
kembali mengapa generasi masa kini cemerlang dari segi akademik tetapi hancur dari
segi akhlak? Sedarkah anda, pencorakan sesuatu generasi itu bermula dengan anda
sebagai pendidik? Kita kenang kembali peribahasa melayu ada yang menyebut
bahawa anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Ya, para
guru merupakan ibu bapa kedua bagi anak-anak murid di sekolah. Gurulah yang
telah diberikan kepercayaan daripada ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka di
sekolah. Justeru, bagaimanakah barisan generasi yang baik dan cemerlang dapat
dilahirkan sekiranya golongan pendidik yang menjadi asas pembentukan generasi
gemilang masih bersikap melepaskan batuk ditangga dan memandang kerjaya sebagai
pendidik hanya untuk mendapatkan wang? Jujur saya nyatakan bahawa golongan
pendidik masa kini jelas mengejar duniawi semata. Tahukah anda, bahawa kerjaya
sebagai guru itu juga suatu ibadah? Ya, kerjaya sebagai guru itu suatu ibadah
kerana kita bukan sahaja mendapat imbuhan sebagai gaji kerana mengajar anak
bangsa tetapi kita mencorakkan anak bangsa yang baru sahaja berjinak-jinak
untuk mengenal dunia yang penuh pancaroba dengan ilmu. Menuntut ilmu pula merupakan
suatu jihad di jalan Allah. Kenapa kerjaya sebagai guru itu suatu ibadah? Hal
ini demikian, walaupun guru tersebut telah pencen, namun ilmu yang pernah
dicurahkan oleh anak bangsanya terus mekar dan berkembang kepada generasi yang
akan datang pula. Benarlah orang kata, harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama. Tetapi, guru mati meninggalkan ilmu.
Berbalik kepada konteks
utama kita, guru yang cemerlang akan melahirkan ummah yang terbilang. Oleh itu,
kita skopkan perbincangan kita pada keperibadian guru itu sendiri. Bagaimanakah
keperibadian seorang guru yang cemerlang? Kita fokuskan pada nawaitu seseorang
guru tersebut dalam menjalankan tugas. Adakah guru tersebut menjalankan tugas
hanya kerana gaji atau menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan. Pada
pandangan saya, seorang guru yang cemerlang sudah pasti tidak berkira dalam
menjalankan tugas yang diberi termasuk tugas tambahan. Dalam aspek yang lain,
guru yang cemerlang sudah tentu akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi
dan ikhlas. Apabila seseorang guru itu ikhlas menjalankan tugasnya, usaha yang dilakukannya
sudah tentu akan disusuli dengan keredhaan yang diserahkan kepada Allah untuk
dinilai. Kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud :-
“Mereka
tidaklah diperintahkan, melainkan supaya beribadat kepada Allah dalam keadaan
mengikhlaskan agama kepadanya”.
(
Al-Bayyinah : 5 )
Cuba kita selami dan hayati maksud
ayat tersebut sedalamnya. Ya, setiap perbuatan yang kita laksanakan mestilah
disandarkan dengan keikhlasan melakukannya hanya kerana Allah SWT. Suka saya
nyatakan ulasan daripada Imam Habib Abdullah Hadad mengenai ayat tersebut iaitu
beliau mengulas bahawa setiap perbuatan atau pekerjaan yang kita lakukan
sekiranya tidak bersandarkan pada keikhlasan maka perbuatan tersebut sudah
terang lagikan bersuluh hanya dilakukan berpasakkan pada nawaitu untuk
menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Contoh yang dapat saya kongsikan disini
ialah mengenai kisah-kisah guru pendidik yang mengajar di pedalaman dengan
penuh keikhlasan dan keredhaan berpaksikan pada satu azam dan tekad yang padu
iaitu untuk mendidik anak bangsa. Acap kali kita lihat dan dengar mengenai
kisah-kisah mereka yang disiarkan di media sosial negara. Malah, setiap aktiviti yang mereka lakukan
juga dijadikan contoh inovasi malah ada yang dibukukan untuk dijadikan panduan
buat bakal-bakal guru pendidik sekalian. Bukankah sudah jelas bahawa dengan
keikhlasan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan mampu membuahkan hasil.
Sekiranya setiap pekerjaan hanya dilakukan bersandarkan pada gaji sahaja, mana
mungkin tugas mengajar di pedalaman ini sanggup dilakukan oleh mana-mana guru
pendidik.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Kita
beralih pada hujah yang seterusnya pula iaitu, guru yang cemerlang mestilah
terdiri daripada guru yang berilmu. Bagaimana kita mahu membentuk ummah yang
terbilang jika guru yang mencorakkan generasi akan datang tidak mempunyai ilmu
yang kukuh?
“Sesungguhnya,
orang yang berilmu di dunia ibarat bintang dilangit menjadi penunjuk dalam
kegelapan di darat dan di laut.”
Ungkapan diatas merupakan hadis Nabi
S.A.W dari riwayat Anas bin Malik yang mengingatkan kita bahawa guru yang
berilmu mampu membimbing murid-muridnya ke arah kegemilangan duniawi dan
akhirat. Ilmu yang terhampar di dunia
ini begitu luas untuk diterokai. Semakin kita cuba menggali ilmu-ilmu yang ada,
kita akan dapati ilmu yang kita pelajari dan kuasai dalam diri hanya ibarat
pepasir di pantai. Belum tentu kita mampu menguasai semua jenis ilmu yang ada
di dunia ini. Dapat juga saya simpulkan disini bahawa ilmu ibarat bintang di
langit yang menjadi penunjuk arah semasa kita berlayar di lautan yang luas,
tanpa ilmu maka hilanglah pedoman dan pegangan serta sesatlah arah pelayaran
kehidupan kita.
Sidang hadirin yang disayangi,
Jika
kita imbas kembali sejarah perkembangan agama Islam kita bermula dengan
penurunan ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan ialah ayat Iqra’ yang
membawa makna bacalah. Membaca jambatan ilmu. Oleh itu, mengapa kita
seboleh-bolehnya menegakkan benang yang basah sedangkan kita tahu kebenarannya.
Kita sedar bahawa kebanyakan kajian yang telah dilakukan terhadap sikap
masyarakat negara kita terutamanya orang Melayu sendiri yang amat malas untuk
membaca. Disaat masyarakat lain di serata dunia berebut-rebut membaca untuk
mengetahui isu semasa dan menambah ilmu pengetahuan, umat kita sendiri lebih
menfokuskan diri dengan media-media sosial yang rata-ratanya tidak memberikan
apa-apa faedah melainkan hanya menjerumuskan diri kita ke arah kelalaian. Lebih
malang lagi apabila umat Islam lalai dengan kemajuan teknologi dunia sehingga
mengetepikan suruhan Allah. Ya, jika kita lihat di Malaysia sendiri, rata-rata
masyarakat disini sering dihimpit dengan sifat malas membaca apatah lagi
menyelidik untuk menerokai ilmu yang baru. Mungkin kita berasa terlalu selesa
dengan taraf hidup sekarang yang
dikelilingi dengan pelbagai kemudahan. Sedarkah anda bahawa sikap malas itu
telah menjadikan golongan yang hanya menerima dan bukannya mencipta?
Lalu, bagaimana caranya
kita dapat wujudkan satu cetusan fenomena yang menerapkan budaya berfikir iaitu
generasi ulul albab di dunia ini? Ulul albab merupakan orang atau individu yang
memiliki fikiran atau orang yang bukan hanya menerima sesuatu itu seadanya
tetapi akan menerokai dan menyelidik sesuatu yang disampaikan itu untuk
mengetahui kebenarannya. Umumnya, kita ketahui bahawa proses yang berada di
puncak pembelajaran ialah berfikir. Apakah yang kita tunggu lagi? Wahai guru
pendidik, bangkitlah dari kejahilan yang hanya menjadikan kita jumud dan lembap
dalam memahami tuntutan hidup beragama. Kita harus mengorak langkah demi
melahirkan generasi yang menduduki hierarki tertinggi di dunia ini. Bukan untuk
bermegah tetapi untuk dicontohi dan seterusnya memartabatkan agama Islam di
serata dunia. Kita ubah, kita transformasikan, kita lahirkan generasi pencipta
dan bukannya penerima. Tiada permulaan yang senang di dunia ini. Jika kita
ingati kembali permulaan kita dilahirkan ke dunia juga merupakan kronologi
terperit bagi seorang ibu. Serangkap pantun saya hadiahkan buat hadirin dan
hadirat untuk dihayati.
Berakit-rakit
ke hulu,
Berenang-renang
ke tepian,
Bersakit-sakit
dahulu,
Bersenang-senang
kemudian.
Bersakit-sakit dalam konteks ini saya
maksudkan sebagai usaha kita yang padu. Kita berusaha dengan penuh wawasan,
penuh semangat yang jitu kerana kejayaan tidak mungkin dapat dikecapi dalam
masa yang singkat tetapi memerlukan perngorbanan dan perjalanan yang panjang. Ayuh
kita hayati bait-bait lirik lagu Insan Cemerlang Umah Terbilang nyanyian Sotul
Tolabah.
Wahai
remaja tonggak negara,
Janganlah
kita leka,
Bentuk
sahsiah nurani insan,
Teruskan
perjuangan,
Satukan
jiwa padukan usaha,
Bersama
kita jaga,
Ummah
yang cemerlang.
Hadirin
yang saya muliakan,
Hendak belayar ke negeri Melaka,
Dayung
perahu tuju haluan,
Intitusi pendidikan bukan penjara,
Anak
didik bukan banduan.
Sedarsawarsa ini, kita
acapkali tersentak dengan permasalahan yang berpunca daripada diri kita
sendiri. Antara permasalahan yang bertunjangkan kejahilan kita ialah
terpesongnya matlamat pembinaan institusi pendidikan di negara ini. Hakikat
yang harus kita akui ialah tujuan utama pembinaan institusi pendidikan seperti
sekolah mahupun universiti adalah untuk melahirkan generasi yang berilmu dan
mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalah kehidupan seharian. Namun, dalam
mengecapi kemanisan hidup dalam era kemerdekaan ini, matlamat yang ditetapkan
seolah-olah ghaib atau tidak diketahui sama sekali dalam diri para pelajar.
Mengapa? Hal ini demikian, institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat
untuk menuntut ilmu tanpa sebarang diskriminasi telah bertukar wajah menjadi
satu medan persaingan yang sengit bagi mendapatkan masa depan yang cerah. Sama
ada kita sedar mahupun tidak, para pelajar yang datang ke sekolah hanya
menuntut ilmu bagi mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan dan
seterusnya melayakkan mereka untuk berada dalam institusi pendidikan yang lebih
tinggi.
Menurut
Zul Fikri Zamir dalam bukunya yang bertajuk “Sekolah Bukan Penjara Universiti
Bukan kilang”, beliau menyatakan bahawa hakikat sekolah dan universiti pada
masa kini telah menjadi terbalik. Sekolah telah menjadi tempat untuk
mengajarkan konsumerisme dan ‘efficient
citizens’. Para pelajar yang hadir ke sekolah diibaratkan seperti hadir ke
penjara kecil kerana mereka tidak dibenarkan untuk bertanya atau memilih apa
yang ingin dipelajarinya sendiri. Ironinya, pemikiran mereka seperti
diperangkap di dalam sel-sel kecil yang menghalang diri mereka daripada melihat
dunia luar yang penuh pancaroba. Bukan itu sahaja, matlamat kita untuk
melahirkan generasi yang berfikiran glokal turut terbantut.
Dalam
mendepani kemaslahatan yang semakin meruncing ini, adakah kita sedar bahawa
kebanyakan pelajar kita semakin terpesong daripada landasan kebenaran? Hal ini
demikian, jika kita lihat, kebanyakan pelajar masa kini beranggapan bahawa masa
hadapan mereka hanya ditentukan melalui peperiksaan yang terpaksa mereka hadapi
untuk pergi lebih jauh. Peperiksaan tersebut bukan kemahuan mereka, tetapi
hakikat sebenarnya ialah mereka tidak diberikan pilihan dan peluang bagi
membuktikan kemampuan diri mereka melalui cara mereka sendiri. Bertitik tolak
daripada itu, kualiti atau mutu seseorang pelajar yang terbilang daripada segi
sahsiah dan akademik semakin menjunam dan bilangan mereka semakin pupus ditelan arus pemodenan.
Lalu, bagaimana kita mahu melahirkan ummah yang terbilang sekiranya pemikiran
para pelajar diasak dan disempitkan untuk hanya menumpukan perhatian terhadap
peperiksaan yang bakal mereka jalani pada satu-satu tahap tertentu?
Hadirin yang saya hormati.
Bagi
merungkai segala permasalahan yang hanya membebankan, kita sepatutnya berani
menghadapi percaturan yang telah kita ketahui sejak azali. Guru yang cemerlang
sudah pasti mampu melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah yang unggul. Kita
perlu melahirkan sebanyak mungkin pelajar dengan sahsiah yang unggul sekiranya
kita mahu matlamat bagi melahirkan ummah terbilang tercapai dan bukan hanya
angan-angan mat jenin.
Apakah
ciri-ciri pelajar yang terbilang? Satu persatu ciri dari pelbagai aspek perlu
dikupas sehingga ke akar umbi bagi meleraikan segala kekusutan kepada pelbagai
masalah yang menunjangi pemikiran. Ciri yang paling asas sekali dalam liku-liku
perjalanan untuk pembentukan diri
menjadi pelajar yang cemerlang terletak pada sahsiah pelajar tersebut. Apa? Begini,
dalam membentuk suatu acuan yang baru, pelajar tersebut perlu mempunyai sahsiah
yang unggul iaitu saya fokuskan pada cara pelajar tersebut menjaga hubungan
baik sesama manusia. Manusia dalam
konteks ini ditujukan pada keluarga, guru, mahupun rakan-rakan. Jangan
dipandang enteng akan adab kita sesama manusia kerana kita semua sama disisi
tuhan. Bukan pangkat atau darjat yang menjadi ukuran, tetapi iman dan takwa
yang membezakan kita disisi-Nya.
Ciri
seterusnya pula kita laraskan pada akidah kita iaitu pegangan kita pada agama.
Setiap agama yang wujud di dunia sudah pasti akan menganjurkan setiap
penganutnya untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan. Penekanan utama
yang saya ingin sampaikan disini ialah, pelajar yang cemerlang mempunyai
pendirian yang tetap dan akan sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup.
Dalam kita memperkemaskan perjalanan demi untuk mencapai matlamat guru
cemerlang ummah terbilang, agama dilihat sebagai satu medium yang paling ampuh
untuk membentuk keperibadian diri pelajar seiring dengan pelan pembangunan negara
bangsa yang amat mementingkan keseimbangan daripada pelbagai aspek termasuk
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi.
Sedarkah
anda bahawa setiap detik waktu yang berlalu itu tidak mungkin akan dapat
dikembalikan semula? Ya, semalam merupakan sejarah dan hari esok merupakan
suatu misteri yang kita tidak pasti apa yang akan berlaku dalam kehidupan kita.
Bertitik tolak daripada itu, sedarkah anda akan hakikat bahawa masa itu emas
yang amat merugikan bagi manusia yang mensia-siakan setiap saat yang
dimilikinya.
“Demi
masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
(
Al-‘Asr : 1-2 )
Allah telah berfirman mengenai
kepentingan masa bagi setiap hamba-Nya. Lantaran itu, mengapa generasi Y masih
lalai dengan pelbagai teknologi yang canggih? Mengapa tidak manfaatkan
teknologi tersebut untuk perkara yang berfaedah? Kemelut ini tidak seharusnya
dibiarkan terus bernanah menjadi duri dalam daging di sekeliling kita. Ummah
yang terbilang sudah pasti tahu apa yang mereka akan lakukan untuk mengisi masa
lapang. Sudah terang lagikan bersuluh mereka akan memilih untuk melakukan
aktiviti yang berfaedah seperti membaca, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah
sebagai pilihan utama dalam pengisian masa lapang mereka. Sebagai tambahan,
ummah yang terbilang sudah tentu tahu untuk mengurus masa dengan fleksibel
sesuai dengan perjalanan hidup mereka sehari-hari walaupun mereka dibebani
dengan pelbagai tanggungjawab dan peranan yang lain.
Selaras dengan tajuk
syarahan saya pada hari ini iaitu “Guru Cemerlang Ummah Terbilang” saya
teruskan lagi sorotan kali ini dengan memetik perihal wawasan hidup yang
sepatutnya ada dalam setiap diri ummah yang terbilang. Setiap perjuangan
mestilah ada sasaran yang mesti dilepasi. Apakah wawasan hidup? Wawasan hidup
merupakan suatu matlamat yang telah kita sasarkan untuk kita kecapi pada kemuncak
hidup kita. Mengapa? Hal ini demikian, wawasan hidup diperlukan untuk
meningkatkan semangat dalam diri masing-masing bagi mengecapi segala cita-cita
dalam hidup. Contohnya, ummah yang terbilang akan mempunyai sasaran utama dan
berusaha mencapai apa yang telah disasarkan. Malah, sekiranya jati diri sebagai
seorang ummah yang terbilang sudah sebati ibarat alah bisa tegal biasa, sudah
tentu mereka akan berusaha mencapai sesuatu matlamat yang telah disasarkan dengan lebih baik.
Suatu fakta menarik yang ingin saya kongsikan ialah wawasan hidup sebenarnya
merupakan ciri dominan yang wujud secara semula jadi dalam setiap diri ummah
yang terbilang. Melalui ciri dominan ini, mereka kelihatan lebih berkredibiliti
dan tidak pernah kenal erti putus asa kerana akhirnya mereka fahami dan dapat
hayati bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang
melayang. Bukan itu sahaja, ummah yang berwawasan dan berdisiplin dalam
memenuhi wawasannya amat sukar untuk terpesong daripada landasan wawasan yang
telah ditetapkan. Oleh itu, melalui wawasan inilah kita dapat lihat liku-liku
perjalanan yang kita lalui berjalan dengan lancar menyelusuri landasan yang
telah kita tetapkan dari awal.
Kesimpulannya, guru yang
cemerlang mampu melahirkan ummah yang terbilang selaras dengan pelan
pembangunan negara bangsa iaitu bagi melahirkan golongan yang seimbang dari
segi akademik, jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Namun harus
saya tegaskan bahawa matlamat ini tidak akan dicapai sekiranya hanya guru
sahaja yang berusaha memperbaiki diri demi melahirkan ummah yang terbilang.
Sebaliknya, para pelajar perlu turut sama berganding bahu mentransformasikan
diri masing-masing menjadi ummah terbilang yang sejati tanpa sebarang rasa
terpaksa atau terbeban. Hal ini demikian, setiap perkara yang kita lakukan
sekiranya bertunjangkan pada nawaitu ikhlas dan redha dengan apa yang telah
ditetapkan untuk kita sudah pasti akan membuahkan hasil yang manis untuk
dikenang sehingga ke akhir zaman, Ayuh anak bangsaku! Kita bangkit mengembalikan
zaman kegemilangan pemerintahan Islam zaman dahulu. Kita perkasakan jati diri
yang berada di puncak medan percaturan dunia sebagai satu sasaran yang kita
perlu lepasi dengan penuh hasil yang membanggakan. Jangan sudah terhantuk baru
hendak terngadah. Sedarlah, kita pacu hidup kita ke arah kehidupan yang lebih
bermakna. Hidup sebagai ummah yang terbilang. Cemerlang duniawi, cemerlang
akhirat, hidup diberkati sehingga ke akhir zaman.
Sekian, terima kasih.