Ahad, 15 Mac 2015

Contoh Teks Syarahan Agama - Guru Cemerlang Ummah Terbilang

1.0   Pengenalan

Syarahan merupakan salah satu aktiviti berkomunikasi secara lisan yang menuntut seseorang individu itu menguasai kemahiran dan kebolehan berkomunikasi yang tinggi selain menampakkan kredibiliti seseorang. Secara zahirnya, aktiviti syarahan yang berkesan dapat melahirkan barisan individu yang dapat berfikiran secara kreatif dan kritis. Malah, generasi yang berfikiran secara realistik juga dapat dilahirkan. Jelas disini dapat kita lihat bahawa syarahan juga merupakan suatu aktiviti yang memberikan pelbagai faedah.

Tidak semua individu dapat menyampaikan syarahan dengan baik. Hal ini demikian, tahap kredibiliti seseorang, tahap intelek dan pemikiran kelas pertama bagi seseorang itu adalah berbeza. Bukan itu sahaja, keupayaan berfikir secara kritis juga menunjukkan kewibawaan dan karisma bagi seseorang terutamanya pemimpin. Oleh itu, amat disarankan bagi para pemimpin menguasai salah satu kemahiran komunikasi secara lisan ini agar syarahan yang bersifat dinamik dapat disampaikan dengan sebaiknya.

1.1   Definisi Syarahan

Apakah yang dimaksudkan dengan syarahan? Apakah tujuan syarahan disampaikan? Bagaimanakah syarahan disampaikan? Ya, memang banyak persoalan yang berlegar-legar di ruang pemikiran kita yang menuntut untuk dihuraikan sehingga ke akar umbi. Sebelum beralih kepada yang lebih mendalam, definisi bagi syarahan mestilah di fahami dengan betul agar tiada keraguan yang terus bermain di minda.

Kita lensakan skop pemikiran kepada definisi syarahan yang paling asas iaitu merupakan suatu aktiviti yang disampaikan secara individu kepada khalayak ramai untuk menghuraikan atau menjelaskan sesuatu tajuk ( Khairuddin Mohamad, 2012 ).

Apakah motif aktiviti syarahan dijalankan? Seperti yang kita ketahui, kemahiran aktiviti syarahan merupakan suatu kemahiran bagi menguji keupayaan penyampai menyampaikan sesuatu idea atau pendapat mahupun pandangan mengenai sesuatu kupasan tajuk atau isu semasa. Bukan itu sahaja, aktiviti ini juga melatih penyampai untuk menyampaikan sesuatu idea itu dalam pelbagai variasi dari segi intonasi, mimik muka, bahasa tubuh dan cara pemakaian yang menzahirkan sisi seorang individu yang penuh berkeyakinan. Justeru, sikap karismatik yang tinggi merupakan suatu medium terpenting semasa menyampaikan syarahan.

Seterusnya, kita fokuskan pula perbincangan kita pada tujuan syarahan disampaikan. Terdapat pelbagai tujuan mengapa sesuatu syarahan itu disampaikan. Pokoknya, sesuatu syarahan itu disampaikan bukanlah hanya berbual kosong tanpa sebarang faedah yang boleh diambil. Sebaliknya, syarahan yang disampaikan itu sarat dengan pelbagai intipati yang boleh dijadikan pedoman dan ukuran. Antara tujuan yang dapat saya senaraikan disini ialah :-

1.    Menyampaikan dan menerangkan sesuatu isu kepada khalayak ramai agar ilmu dan pengetahuan dapat ditambah dan dikongsi bersama.
2.    Medium bagi memberitahu mengenai sesuatu isu semasa seperti isu yang memberi impak kepada orang ramai.
3.    Meyakinkan dan menegakkan pandangan penyampai mengenai sesuatu isu yang disampaikan.
4.    Meraih perhatian khalayak agar mengambil serius terhadap sesuatu maklumat yang disampaikan.
5.    Meningkatkan keyakinan penyampai untuk berbicara di khalayak ramai.

Selain itu, syarahan juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu syarahan umum, syarahan pertandingan dan juga syarahan agama. Setiap jenis syarahan ini mempunyai perbezaan yang tersendiri. Contoh yang jelas kita dapat lihat ialah semasa permulaan bagi setiap syarahan. Bagi syarahan pertandingan, pada bahagian permulaan, individu yang memberi syarahan mestilah menyatakan penghargaan pada penjaga masa dan juga panel juri. Manakala bagi syarahan yang lain pula, penghargaan kepada penjaga masa dan panel juri tidak diperlukan. Sebaliknya, penghargaan hanya diberikan kepada pengacara majlis dan juga kepada pihak-pihak tertentu mengikut audiens yang hadir.

Kesimpulannya, syarahan merupakan aktiviti komunikasi yang sarat dengan pelbagai kemahiran yang menuntut diri penyampai untuk menguasai setiap kemahiran secara holistik bagi memastikan setiap hujah dan idea yang disampaikan dapat diterima dengan baik dan mudah difahami oleh khalayak. Malah, penyusunan ayat, fakta, gaya penyampaian, bahasa yang mudah dan jelas juga merupakan elemen-elemen yang mempengaruhi diri penyampai dalam menyampaikan syarahan dengan baik.




2.0   Teks Syarahan.

Terima kasih saudara Pengerusi Majlis, para guru yang dihormati dan seterusnya rakan-rakan siswi pendidik yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.

Hadirin warga dewan yang dimuliakan,

Hang Tuah pahlawan gagah perkasa,
Nama terkenal serata negeri,
Tampil gagah wira perkasa,
Menyulam kata penuh bervisi.

            Peribahasa Melayu ada menyatakan, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya” membawa maksud bahawa kita sebagai manusia sering melakukan sesuatu bertunjangkan kepada nafsu, emosi dan naluri semata-mata. Kita singkap peribahasa, “tepuk dada tanya selera” yang sinonim dengan gambaran yang saya nyatakan sebentar tadi. Sedarsawarsa ini, sama ada kita sedar mahupun tidak di segenap empat penjuru dunia mengenai kebanyakan tindakan yang telah kita ambil lebih bermotifkan keinginan nafsu tanpa memanfaatkan akal fikiran yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada kita dengan sebaiknya. Justeru, jika kita lihat anak bangsa era modenisasi ini kebanyakannya memiliki tahap intelektual yang tinggi namun sifar dalam hal-hal yang melibatkan insaniah diri. Jangan kita persoalkan kepada mana-mana pihak akan puncanya. Sebaliknya, tanyalah diri sendiri adakah kita punca penyebabnya? Saya sebagai wira perkasa, tampil gah diatas pentas penuh bersejarah ini dengan berpegang kepada panji-panji mauduk syarahan kita pada hari ini, iaitu “Guru Cemerlang Ummah Terbilang”.

Hadirin yang saya hormati,
            Terlebih dahulu, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya satu persatu. Guru menurut Kamus Dewan edisi ketiga membawa maksud pendidik, pengajar atau pengasuh. Manakala, cemerlang pula membawa maksud sesuatu kejayaan yang unggul dan membanggakan. Seterusnya, ummah pula bermaksud masyarakat atau golongan manusia yang ramai atau suatu generasi. Akhir sekali, gemilang pula bermaksud sesuatu perkara yang lebih unggul dan lebih baik daripada sesuatu perkara yang cemerlang atau lebih mudah saya definisikan sebagai suatu kejayaan yang lebih baik daripada kejayaan yang cemerlang. Secara holistiknya, dapat dilihat bahawa maksud bagi tajuk syarahan saya pada hari ini ialah guru yang berkualiti mampu melahirkan generasi yang baik bukan sahaja dari segi akademik. Sebaliknya, dari pelbagai aspek seperti kerohanian, peribadi, ko-kurikulum dan sebagainya. Dalam erti kata lain, guru merupakan momentum terbaik bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi akademik dan rohani seiring dengan tujuan pembinaan negara bangsa.

            Apabila kita sentuh ungkapan guru cemerlang ummah terbilang yang acap kali meniti di bibir para hadirin sekalian, izinkan saya memetik surat cinta dari Allah SWT yang dinukilkan dalam Al-Quran yang bermaksud :

“kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah”.
( Al-Imran:110 )

Tahukah anda apakah maksud tersirat mahupun tersurat bagi tajuk syarahan pada hari ini? Secara umumnya, saya pasti ramai golongan pendidik disini tahu makna perkataan cemerlang dan terbilang lebih baik berbanding saya. Namun, saya persoalkan balik kepada hadirin sekalian. Apakah kita berusaha sehabis baik bagi mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam hidup kita terutamanya dalam setiap aspek kehidupan? Kita sebagai pendidik sudah tentu perlu mendapatkan yang terbaik dalam hidup kita. Kemudian, disusuli pula dengan kehidupan anak didik kita yang sudah tentu perlu lebih baik dari kita. Suka saya nyatakan sebaris ayat iaitu “ Apabila guru mengajar kerana gaji, murid belajar kerana peperiksaan. “ Dalam ayat tersebut, apa yang saya ingin tekankan ialah apabila guru hanya menjalankan proses pengajaran sebagai kerjaya bagi mendapatkan imbuhan iaitu gaji, murid pula hanya akan belajar bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan dan bukannya mengaplikasi serta mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Lebih tepat lagi, proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan hanya berpaksikan kepada lahiriah semata dan bukannya dari segi insaniah.

Lalu, kamu mempersoalkan kembali mengapa generasi masa kini cemerlang dari segi akademik tetapi hancur dari segi akhlak? Sedarkah anda, pencorakan sesuatu generasi itu bermula dengan anda sebagai pendidik? Kita kenang kembali peribahasa melayu ada yang menyebut bahawa anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Ya, para guru merupakan ibu bapa kedua bagi anak-anak murid di sekolah. Gurulah yang telah diberikan kepercayaan daripada ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka di sekolah. Justeru, bagaimanakah barisan generasi yang baik dan cemerlang dapat dilahirkan sekiranya golongan pendidik yang menjadi asas pembentukan generasi gemilang masih bersikap melepaskan batuk ditangga dan memandang kerjaya sebagai pendidik hanya untuk mendapatkan wang? Jujur saya nyatakan bahawa golongan pendidik masa kini jelas mengejar duniawi semata. Tahukah anda, bahawa kerjaya sebagai guru itu juga suatu ibadah? Ya, kerjaya sebagai guru itu suatu ibadah kerana kita bukan sahaja mendapat imbuhan sebagai gaji kerana mengajar anak bangsa tetapi kita mencorakkan anak bangsa yang baru sahaja berjinak-jinak untuk mengenal dunia yang penuh pancaroba dengan ilmu. Menuntut ilmu pula merupakan suatu jihad di jalan Allah. Kenapa kerjaya sebagai guru itu suatu ibadah? Hal ini demikian, walaupun guru tersebut telah pencen, namun ilmu yang pernah dicurahkan oleh anak bangsanya terus mekar dan berkembang kepada generasi yang akan datang pula. Benarlah orang kata, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tetapi, guru mati meninggalkan ilmu.

Berbalik kepada konteks utama kita, guru yang cemerlang akan melahirkan ummah yang terbilang. Oleh itu, kita skopkan perbincangan kita pada keperibadian guru itu sendiri. Bagaimanakah keperibadian seorang guru yang cemerlang? Kita fokuskan pada nawaitu seseorang guru tersebut dalam menjalankan tugas. Adakah guru tersebut menjalankan tugas hanya kerana gaji atau menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan. Pada pandangan saya, seorang guru yang cemerlang sudah pasti tidak berkira dalam menjalankan tugas yang diberi termasuk tugas tambahan. Dalam aspek yang lain, guru yang cemerlang sudah tentu akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Apabila seseorang guru itu ikhlas menjalankan tugasnya, usaha yang dilakukannya sudah tentu akan disusuli dengan keredhaan yang diserahkan kepada Allah untuk dinilai. Kita hayati firman Allah SWT yang bermaksud :-

“Mereka tidaklah diperintahkan, melainkan supaya beribadat kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya”.
( Al-Bayyinah : 5 )
Cuba kita selami dan hayati maksud ayat tersebut sedalamnya. Ya, setiap perbuatan yang kita laksanakan mestilah disandarkan dengan keikhlasan melakukannya hanya kerana Allah SWT. Suka saya nyatakan ulasan daripada Imam Habib Abdullah Hadad mengenai ayat tersebut iaitu beliau mengulas bahawa setiap perbuatan atau pekerjaan yang kita lakukan sekiranya tidak bersandarkan pada keikhlasan maka perbuatan tersebut sudah terang lagikan bersuluh hanya dilakukan berpasakkan pada nawaitu untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Contoh yang dapat saya kongsikan disini ialah mengenai kisah-kisah guru pendidik yang mengajar di pedalaman dengan penuh keikhlasan dan keredhaan berpaksikan pada satu azam dan tekad yang padu iaitu untuk mendidik anak bangsa. Acap kali kita lihat dan dengar mengenai kisah-kisah mereka yang disiarkan di media sosial negara.  Malah, setiap aktiviti yang mereka lakukan juga dijadikan contoh inovasi malah ada yang dibukukan untuk dijadikan panduan buat bakal-bakal guru pendidik sekalian. Bukankah sudah jelas bahawa dengan keikhlasan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan mampu membuahkan hasil. Sekiranya setiap pekerjaan hanya dilakukan bersandarkan pada gaji sahaja, mana mungkin tugas mengajar di pedalaman ini sanggup dilakukan oleh mana-mana guru pendidik.

Hadirin dan hadirat sekalian,
            Kita beralih pada hujah yang seterusnya pula iaitu, guru yang cemerlang mestilah terdiri daripada guru yang berilmu. Bagaimana kita mahu membentuk ummah yang terbilang jika guru yang mencorakkan generasi akan datang tidak mempunyai ilmu yang kukuh?

“Sesungguhnya, orang yang berilmu di dunia ibarat bintang dilangit menjadi penunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut.”

Ungkapan diatas merupakan hadis Nabi S.A.W dari riwayat Anas bin Malik yang mengingatkan kita bahawa guru yang berilmu mampu membimbing murid-muridnya ke arah kegemilangan duniawi dan akhirat.  Ilmu yang terhampar di dunia ini begitu luas untuk diterokai. Semakin kita cuba menggali ilmu-ilmu yang ada, kita akan dapati ilmu yang kita pelajari dan kuasai dalam diri hanya ibarat pepasir di pantai. Belum tentu kita mampu menguasai semua jenis ilmu yang ada di dunia ini. Dapat juga saya simpulkan disini bahawa ilmu ibarat bintang di langit yang menjadi penunjuk arah semasa kita berlayar di lautan yang luas, tanpa ilmu maka hilanglah pedoman dan pegangan serta sesatlah arah pelayaran kehidupan kita.

Sidang hadirin yang disayangi,
            Jika kita imbas kembali sejarah perkembangan agama Islam kita bermula dengan penurunan ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan ialah ayat Iqra’ yang membawa makna bacalah. Membaca jambatan ilmu. Oleh itu, mengapa kita seboleh-bolehnya menegakkan benang yang basah sedangkan kita tahu kebenarannya. Kita sedar bahawa kebanyakan kajian yang telah dilakukan terhadap sikap masyarakat negara kita terutamanya orang Melayu sendiri yang amat malas untuk membaca. Disaat masyarakat lain di serata dunia berebut-rebut membaca untuk mengetahui isu semasa dan menambah ilmu pengetahuan, umat kita sendiri lebih menfokuskan diri dengan media-media sosial yang rata-ratanya tidak memberikan apa-apa faedah melainkan hanya menjerumuskan diri kita ke arah kelalaian. Lebih malang lagi apabila umat Islam lalai dengan kemajuan teknologi dunia sehingga mengetepikan suruhan Allah. Ya, jika kita lihat di Malaysia sendiri, rata-rata masyarakat disini sering dihimpit dengan sifat malas membaca apatah lagi menyelidik untuk menerokai ilmu yang baru. Mungkin kita berasa terlalu selesa dengan taraf  hidup sekarang yang dikelilingi dengan pelbagai kemudahan. Sedarkah anda bahawa sikap malas itu telah menjadikan golongan yang hanya menerima dan bukannya mencipta?

Lalu, bagaimana caranya kita dapat wujudkan satu cetusan fenomena yang menerapkan budaya berfikir iaitu generasi ulul albab di dunia ini? Ulul albab merupakan orang atau individu yang memiliki fikiran atau orang yang bukan hanya menerima sesuatu itu seadanya tetapi akan menerokai dan menyelidik sesuatu yang disampaikan itu untuk mengetahui kebenarannya. Umumnya, kita ketahui bahawa proses yang berada di puncak pembelajaran ialah berfikir. Apakah yang kita tunggu lagi? Wahai guru pendidik, bangkitlah dari kejahilan yang hanya menjadikan kita jumud dan lembap dalam memahami tuntutan hidup beragama. Kita harus mengorak langkah demi melahirkan generasi yang menduduki hierarki tertinggi di dunia ini. Bukan untuk bermegah tetapi untuk dicontohi dan seterusnya memartabatkan agama Islam di serata dunia. Kita ubah, kita transformasikan, kita lahirkan generasi pencipta dan bukannya penerima. Tiada permulaan yang senang di dunia ini. Jika kita ingati kembali permulaan kita dilahirkan ke dunia juga merupakan kronologi terperit bagi seorang ibu. Serangkap pantun saya hadiahkan buat hadirin dan hadirat untuk dihayati.

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Bersakit-sakit dalam konteks ini saya maksudkan sebagai usaha kita yang padu. Kita berusaha dengan penuh wawasan, penuh semangat yang jitu kerana kejayaan tidak mungkin dapat dikecapi dalam masa yang singkat tetapi memerlukan perngorbanan dan perjalanan yang panjang. Ayuh kita hayati bait-bait lirik lagu Insan Cemerlang Umah Terbilang nyanyian Sotul Tolabah.

Wahai remaja tonggak negara,
Janganlah kita leka,
Bentuk sahsiah nurani insan,
Teruskan perjuangan,
Satukan jiwa padukan usaha,
Bersama kita jaga,
Ummah yang cemerlang.


Hadirin yang saya muliakan,

   Hendak belayar ke negeri Melaka,
               Dayung perahu tuju haluan,
   Intitusi pendidikan bukan penjara,
               Anak didik bukan banduan.

Sedarsawarsa ini, kita acapkali tersentak dengan permasalahan yang berpunca daripada diri kita sendiri. Antara permasalahan yang bertunjangkan kejahilan kita ialah terpesongnya matlamat pembinaan institusi pendidikan di negara ini. Hakikat yang harus kita akui ialah tujuan utama pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah mahupun universiti adalah untuk melahirkan generasi yang berilmu dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalah kehidupan seharian. Namun, dalam mengecapi kemanisan hidup dalam era kemerdekaan ini, matlamat yang ditetapkan seolah-olah ghaib atau tidak diketahui sama sekali dalam diri para pelajar. Mengapa? Hal ini demikian, institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat untuk menuntut ilmu tanpa sebarang diskriminasi telah bertukar wajah menjadi satu medan persaingan yang sengit bagi mendapatkan masa depan yang cerah. Sama ada kita sedar mahupun tidak, para pelajar yang datang ke sekolah hanya menuntut ilmu bagi mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan dan seterusnya melayakkan mereka untuk berada dalam institusi pendidikan yang lebih tinggi.

            Menurut Zul Fikri Zamir dalam bukunya yang bertajuk “Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan kilang”, beliau menyatakan bahawa hakikat sekolah dan universiti pada masa kini telah menjadi terbalik. Sekolah telah menjadi tempat untuk mengajarkan konsumerisme dan ‘efficient citizens’. Para pelajar yang hadir ke sekolah diibaratkan seperti hadir ke penjara kecil kerana mereka tidak dibenarkan untuk bertanya atau memilih apa yang ingin dipelajarinya sendiri. Ironinya, pemikiran mereka seperti diperangkap di dalam sel-sel kecil yang menghalang diri mereka daripada melihat dunia luar yang penuh pancaroba. Bukan itu sahaja, matlamat kita untuk melahirkan generasi yang berfikiran glokal turut terbantut.

            Dalam mendepani kemaslahatan yang semakin meruncing ini, adakah kita sedar bahawa kebanyakan pelajar kita semakin terpesong daripada landasan kebenaran? Hal ini demikian, jika kita lihat, kebanyakan pelajar masa kini beranggapan bahawa masa hadapan mereka hanya ditentukan melalui peperiksaan yang terpaksa mereka hadapi untuk pergi lebih jauh. Peperiksaan tersebut bukan kemahuan mereka, tetapi hakikat sebenarnya ialah mereka tidak diberikan pilihan dan peluang bagi membuktikan kemampuan diri mereka melalui cara mereka sendiri. Bertitik tolak daripada itu, kualiti atau mutu seseorang pelajar yang terbilang daripada segi sahsiah dan akademik semakin menjunam dan bilangan  mereka semakin pupus ditelan arus pemodenan. Lalu, bagaimana kita mahu melahirkan ummah yang terbilang sekiranya pemikiran para pelajar diasak dan disempitkan untuk hanya menumpukan perhatian terhadap peperiksaan yang bakal mereka jalani pada satu-satu tahap tertentu?

Hadirin yang saya hormati.
            Bagi merungkai segala permasalahan yang hanya membebankan, kita sepatutnya berani menghadapi percaturan yang telah kita ketahui sejak azali. Guru yang cemerlang sudah pasti mampu melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah yang unggul. Kita perlu melahirkan sebanyak mungkin pelajar dengan sahsiah yang unggul sekiranya kita mahu matlamat bagi melahirkan ummah terbilang tercapai dan bukan hanya angan-angan mat jenin.

            Apakah ciri-ciri pelajar yang terbilang? Satu persatu ciri dari pelbagai aspek perlu dikupas sehingga ke akar umbi bagi meleraikan segala kekusutan kepada pelbagai masalah yang menunjangi pemikiran. Ciri yang paling asas sekali dalam liku-liku perjalanan untuk  pembentukan diri menjadi pelajar yang cemerlang terletak pada sahsiah pelajar tersebut.  Apa?  Begini, dalam membentuk suatu acuan yang baru, pelajar tersebut perlu mempunyai sahsiah yang unggul iaitu saya fokuskan pada cara pelajar tersebut menjaga hubungan baik sesama manusia.  Manusia dalam konteks ini ditujukan pada keluarga, guru, mahupun rakan-rakan. Jangan dipandang enteng akan adab kita sesama manusia kerana kita semua sama disisi tuhan. Bukan pangkat atau darjat yang menjadi ukuran, tetapi iman dan takwa yang membezakan kita disisi-Nya.

            Ciri seterusnya pula kita laraskan pada akidah kita iaitu pegangan kita pada agama. Setiap agama yang wujud di dunia sudah pasti akan menganjurkan setiap penganutnya untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan. Penekanan utama yang saya ingin sampaikan disini ialah, pelajar yang cemerlang mempunyai pendirian yang tetap dan akan sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Dalam kita memperkemaskan perjalanan demi untuk mencapai matlamat guru cemerlang ummah terbilang, agama dilihat sebagai satu medium yang paling ampuh untuk membentuk keperibadian diri pelajar seiring dengan pelan pembangunan negara bangsa yang amat mementingkan keseimbangan daripada pelbagai aspek termasuk jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi.
            Sedarkah anda bahawa setiap detik waktu yang berlalu itu tidak mungkin akan dapat dikembalikan semula? Ya, semalam merupakan sejarah dan hari esok merupakan suatu misteri yang kita tidak pasti apa yang akan berlaku dalam kehidupan kita. Bertitik tolak daripada itu, sedarkah anda akan hakikat bahawa masa itu emas yang amat merugikan bagi manusia yang mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya.
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
( Al-‘Asr : 1-2 )

Allah telah berfirman mengenai kepentingan masa bagi setiap hamba-Nya. Lantaran itu, mengapa generasi Y masih lalai dengan pelbagai teknologi yang canggih? Mengapa tidak manfaatkan teknologi tersebut untuk perkara yang berfaedah? Kemelut ini tidak seharusnya dibiarkan terus bernanah menjadi duri dalam daging di sekeliling kita. Ummah yang terbilang sudah pasti tahu apa yang mereka akan lakukan untuk mengisi masa lapang. Sudah terang lagikan bersuluh mereka akan memilih untuk melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah sebagai pilihan utama dalam pengisian masa lapang mereka. Sebagai tambahan, ummah yang terbilang sudah tentu tahu untuk mengurus masa dengan fleksibel sesuai dengan perjalanan hidup mereka sehari-hari walaupun mereka dibebani dengan pelbagai tanggungjawab dan peranan yang lain.

Selaras dengan tajuk syarahan saya pada hari ini iaitu “Guru Cemerlang Ummah Terbilang” saya teruskan lagi sorotan kali ini dengan memetik perihal wawasan hidup yang sepatutnya ada dalam setiap diri ummah yang terbilang. Setiap perjuangan mestilah ada sasaran yang mesti dilepasi. Apakah wawasan hidup? Wawasan hidup merupakan suatu matlamat yang telah kita sasarkan untuk kita kecapi pada kemuncak hidup kita. Mengapa? Hal ini demikian, wawasan hidup diperlukan untuk meningkatkan semangat dalam diri masing-masing bagi mengecapi segala cita-cita dalam hidup. Contohnya, ummah yang terbilang akan mempunyai sasaran utama dan berusaha mencapai apa yang telah disasarkan. Malah, sekiranya jati diri sebagai seorang ummah yang terbilang sudah sebati ibarat alah bisa tegal biasa, sudah tentu mereka akan berusaha mencapai sesuatu matlamat  yang telah disasarkan dengan lebih baik. Suatu fakta menarik yang ingin saya kongsikan ialah wawasan hidup sebenarnya merupakan ciri dominan yang wujud secara semula jadi dalam setiap diri ummah yang terbilang. Melalui ciri dominan ini, mereka kelihatan lebih berkredibiliti dan tidak pernah kenal erti putus asa kerana akhirnya mereka fahami dan dapat hayati bahawa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Bukan itu sahaja, ummah yang berwawasan dan berdisiplin dalam memenuhi wawasannya amat sukar untuk terpesong daripada landasan wawasan yang telah ditetapkan. Oleh itu, melalui wawasan inilah kita dapat lihat liku-liku perjalanan yang kita lalui berjalan dengan lancar menyelusuri landasan yang telah kita tetapkan dari awal.

Kesimpulannya, guru yang cemerlang mampu melahirkan ummah yang terbilang selaras dengan pelan pembangunan negara bangsa iaitu bagi melahirkan golongan yang seimbang dari segi akademik, jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial. Namun harus saya tegaskan bahawa matlamat ini tidak akan dicapai sekiranya hanya guru sahaja yang berusaha memperbaiki diri demi melahirkan ummah yang terbilang. Sebaliknya, para pelajar perlu turut sama berganding bahu mentransformasikan diri masing-masing menjadi ummah terbilang yang sejati tanpa sebarang rasa terpaksa atau terbeban. Hal ini demikian, setiap perkara yang kita lakukan sekiranya bertunjangkan pada nawaitu ikhlas dan redha dengan apa yang telah ditetapkan untuk kita sudah pasti akan membuahkan hasil yang manis untuk dikenang sehingga ke akhir zaman, Ayuh anak bangsaku! Kita bangkit mengembalikan zaman kegemilangan pemerintahan Islam zaman dahulu. Kita perkasakan jati diri yang berada di puncak medan percaturan dunia sebagai satu sasaran yang kita perlu lepasi dengan penuh hasil yang membanggakan. Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah. Sedarlah, kita pacu hidup kita ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Hidup sebagai ummah yang terbilang. Cemerlang duniawi, cemerlang akhirat, hidup diberkati sehingga ke akhir zaman.


Sekian, terima kasih.