Isnin, 29 September 2014

Life is Precious

Assalamualaikum kawan-kawan, saudara pendidik dan para pembaca sekalian. Hari ni kita akan mengupas tajuk cita-cita dalam hidup kita. Seperti yang kita sedia maklum, semua insan di dunia ini sudah pasti mempunyai cita-cita yang ingin dicapai. Tidak kira sama ada cita-cita jangka masa pendek atau cita-cita jangka masa panjang. Apakah cita-cita anda?? Adakah anda sudah mempunyai cita-cita?? Atau sudahkah anda berjaya menjadi seperti yang anda idamkan dalam hidup ini??

Pertama sekali kita skopkan perbincangan kita pada maksud cita-cita itu sendiri. Cita-cita merupakan suatu perkara yang menjadi idaman semua insan untuk dicapai dalam hidup masing-masing. Setiap insan sudah pasti mempunyai cita-cita mereka yang tersendiri.

Mempunyai cita-cita amat penting bagi setiap individu dalam hidup ini. Mengapa? Hal ini demikian, cita-cita merupakan suatu pendorong bagi diri kita sendiri untuk terus mencapai perkara yang diidamkan. Malah, kita juga boleh menganggap cita-cita kita sebagai satu motivasi diri untuk terus berjaya dan berusaha sehingga perkara yang diidamkan menjadi kenyataan.

Walaupun begitu, Cita-cita yang ditetapkan dalam diri untuk kehidupan kita mestilah cita-cita yang positif dan baik. Oleh itu, pemilihan cita-cita yang bersesuaian dengan prinsip dan moto hidup kita juga merupakan salah satu perkara yang penting. Bagaimana?? Disini saya senaraikan beberapa tips mudah untuk anda menentukan cita-cita yang baik bagi diri anda.


1. Pilih ikut minat

    Pemilihan cita-cita yang baik perlulah lahir daripada diri kita sendiri iaitu bukan paksaan atau harapan daripada orang lain. Mengapa? Hal ini demikian, perkara atau pekerjaan yang ingin kita kecapi pada masa akan datang mestilah berdasarkan minat kita sendiri. Jika sesuatu perkara yang kita lakukan itu merupakan minat kita sendiri, sudah pasti kita tidak akan merasa bosan dan merasa terpaksa untuk melakukan pekerjaan tersebut.

2. Tentukan matlamat yang tepat

     Penentuan matlamat juga merupakan suatu elemen penting. Apabila cita-cita sudah ditetapkan, maka matlamat perlu dirangka iaitu perancangan sama ada jangka masa panjang atau pendek bagi mencapai cita-cita tersebut. Bagi saya, matlamat yang paling mudah ialah tetapkan jangka masa bagi mencapai cita-cita tersebut dan tetapkan perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.

3. Sikap positif

    Dalam skop ini kita fokuskan pada sikap kita sendiri. Jika kita mahu cita-cita kita tercapai sudah pasti kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Jangan mudah putus asa bagi setiap perkara atau pekerjaan yang kita lakukan. Sentiasa berfikiran positif dan teruskan berjuang sehingga kemenangan menjadi milik kita.

4. Husnuzon

    Jika kita jatuh buat kali ketujuh, maka bangunlah untuk kali kelapan. Apakah husnuzon? Husnuzon bermaksud bersangka baik. Sentiasa bersangka baik sekiranya kita jatuh. Sentiasa ingat bahawa dunia ini ibarat roda. Kadang-kadang kita diatas, kadang-kadang kita dibawah. Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Tapi harus diingatkan bahawa, sekiranya kita tidak dapat kejayaan yang diimpikan, sentiasa positif dan anggap bahawa kejayaan kita ditunda untuk satu kejayaan yang lebih baik bagi masa akan datang.

5. Yakin dengan Allah

    Sebagai umat Islam, kita perlu yakin dengan Allah.


             "...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."  (Al-Baqarah ayat 216)

Kita perlu percaya dan yakin bahawa Allah mempunyai perancangan yang lebih baik buat diri kita. Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi Allah merupakan sebaik-baik perancang. Oleh itu, jangan mengeluh sekiranya kejayaan itu belum lagi menjadi milik anda.

6. Tingkatkan amalan

    Untuk setiap perkara yang kita lakukan, kita perlu selalu tingkatkan amalan kita. peningkatan amalan bukan sahaja dilakukan ketika kita menginginkan sesuatu. Ia perlu dilakukan secara istiqamah dan berterusan setiap masa. Dekatkan diri dengan Allah pada setiap masa.


Diharapkan tips-tips yang telah diberikan diatas dapat diamalkan dan dijadikan panduan buat semua. Terima kasih :)

Rabu, 24 September 2014

Adab Makan Semasa Kenduri


      Majlis kenduri sudah tidak asing lagi bagi umat Islam. Tahukah anda bahawa majlis kenduri di Johor mempunyai keunikannya yang tersendiri? Majlis kenduri biasanya dilakukan bagi menyambut sesuatu seperti majlis kenduri kesyukuran, majlis kenduri arwah, dan sebagainya. Suatu kelaziman bagi rakyat Johor untuk menyediakan juadah bagi dihidangkan kepada tetamu secara bergotong-royong atau lebih dikenali sebagai rewang bagi rakyat disini.
      Majlis kenduri kebiasaannya bermula selepas masuknya waktu solat isyak iaitu jemaah lelaki akan datang secara berkumpulan daripada surau atau masjid ke rumah individu yang mengadakan kenduri tersebut. Kemudian, majlis akan dimulakan secara ringkas. Para tetamu akan disajikan dengan juadah yang telah disediakan tuan rumah sebelum beredar pulang ke rumah.
      Di Johor, juadah yang menjadi kewajipan ialah nasi ambeng, iaitu nasi yang dihidangkan menggunakan talam atau dulang. Setiap dulang akan memuatkan empat orang tetamu untuk makan bersama. Apakah yang dimaksudkan dengn nasi ambeng? Nasi ambeng ialah nasi berlauk. Nasi ambeng merupakan satu juadah yang mengandungi pengaruh jawa yang mana dipercayai datang daripada kepulauan Jawa, Indonesia. Keistimewaannya terletak pada lauk yang dimakan dengan nasi tersebut iaitu ayam masak kicap, serunding, ikan kering dan yang paling istimewa sekali ialah sambal goreng.
      Disini kita lensakan skop pemikiran kita pada adab dan kesantunan yang kita boleh perolehi iaitu adab makan. Apabila penggunaan talam dilakukan, adab makan yang diamalkan adalah berbeza jika dibandingkan dengan adab makan yang biasa. Hal ini demikian, kita ibarat berkongsi makanan yang hendak dimakan di dalam satu pinggan yang besar. Justeru, sikap adil dan toleransi mestilah diterapkan dalam situasi ini.

 Adil dan Toleransi
Pengagihan makanan dalam satu talam yang sama hendaklah dilakukan secara adil bersama tetamu yang makan menggunakan satu talam yang sama dengan kita. Bak kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Namun, menelusuri arus pemodenan ini, pelbagai revolusi telah dilakukan terhadap cara menghidangkan nasi ambeng. Penyediaannya masih sama iaitu di dalam talam, tetapi tuan rumah akan memberikan kuantiti lauk yang adil untuk semua. Contohnya, semasa amalan tradisi dahulu kala, satu talam akan diberi seekor ayam yang mana terpulang kepada tetamu itu sendiri untuk membahagikan ayam itu sesama mereka yang makan satu talam. Setelah direvolusikan, pada zaman kini satu talam akan diberikan empat ketul ayam iaitu seketul ayam untuk seorang yang mana kaedah ini lebih praktikal dan dapat mengelakkan pembaziran. Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 8) 
Kesantunan dalam kebudayaan yang dapat kita lihat disini ialah sikap setiap individu yang bertolak ansur dan adil semasa makan yang mana setiap individu hanya makan bahagian mereka walaupun di dalam satu talam yang sama.


 Bertegur sapa
Kita lensakan skop perbincangan kita pada adab yang kedua iaitu bertegur sapa. Seperti yang kita lihat, amalan makan menggunakan talam juga dapat mengeratkan hubungan persaudaraan. Hal ini demikian, kita sudah pasti akan menegur tetamu lain yang makan sama talam dengan kita atau dalam erti kata lain mempelawa tetamu lain untuk turut serta makan bersama. Dalam konteks ini, saya ingin tekankan pada adab semasa bertegur sapa iaitu mempelawa tetamu lain dengan cara dan sistem panggilan yang betul. Selain itu, kita juga mestilah mengelakkan berbual mengenai isu yang boleh mengakibatkan berlakunya pertelingkahan dan sentiasa menyambung tali persaudaraan dengan kenalan-kenalan yang lain terutamanya kenalan yang jauh. Masyarakat di Johor terutamanya di kawasan kajian saya iaitu Batu Pahat mempunyai ramai kaum Jawa. Oleh itu, penggunaan bahasa Jawa semasa berbual bukanlah suatu isu yang asing disini. Umumnya, ramai mengetahui bahawa sistem panggilan bahasa Jawa adalah sedikit tidak sopan yang mana penggunaan bahasa yang sedikit kasar. Namun, dalam kekasaran bahasa itu masih terselit kesantunan berbahasa. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud,
"Pelajarilah nasab-nasab kalian yang dengan itu kalian dapat menyambung silaturrahim.Sebab,menyambung silaturrahim dapat mendatangkan kaih sayang dalam keluarga,mendatangkan harta dan memanjangkan umur."(Riwayat at-Tirmizi)
Dalam perbincangan mengenai adab kedua ini, kita dapat lihat kesantunan berbahasa iaitu penggunaan bahasa yang sopan semasa bertegur sama. Malah, dengan mengelakkan berbual mengenai isu yang boleh mengakibatkan berlakunya pertelingkahan juga kita dapat menjauhkan diri daripada membuat mana-mana pihak sakit hati atau terasa hati dengan apa yang kita perkatakan.

 Mengelakkan Pembaziran
Adab makan yang seterusnya ialah mengelakkan pembaziran. Bagaimana? Mengikut pemerhatian saya, pembaziran sering berlaku semasa kenduri lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan. Hal ini demikian, para tetamu yang hadir tidak menghabiskan makanan yang disediakan iaitu makanan yang disajikan kepada mereka di dalam talam. Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya tetamu mengambil langkah bijak dengan membungkus makanan yang tidak habis yang dimakannya untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Bungkusan makanan tersebut dipanggil bontrot oleh masyarakat Johor. Tetamu yang hadir sepatutnya menghabiskan makanan yang dihidangkan sebagai tanda penghargaan kepada tuan rumah yang sanggup membelanjakan duit dan berpenat lelah memasak hidangan.
Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’: 27).
 Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud, 
“…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan”(Surah al-A’raf: 31).
Mengikut kajian saya, masyarakat kini semakin leka dengan hal duniawi sehinggakan mereka tidak sedar atau lupa akan pembaziran yang dilakukan. Hal ini demikian, masyarakat kini begitu sombong dan angkuh kerana hanya membiarkan makanan yang dimakannya dibuang begitu sahaja sekiranya mereka tidak dapat menghabiskan makanan tersebut. Sedangkan, mereka mempunyai pilihan iaitu dengan membungkus makanan tersebut untuk dibawa pulang ke rumah. Bukankah pembaziran itu amalan syaitan? Dan pembaziran yang dilakukan itu juga jelas menunjukkan bahawa lunturnya kesantunan dalam budaya masa kini sedangkan dalam islam sendiri menyuruh kita bersyukur kepada Allah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang Kami berikan kepada Kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya”
                                                                                      ( Surah Al-Baqarah : ayat 172)

 Membaca Doa dan Mengucapkan Alhamdulillah
Selain itu, membaca doa sebelum dan selepas makan juga merupakan adab ketika makan. Disini saya fokuskan kepada umat Islam sahaja yang mana sejak dari kecil lagi kita sudah diasuh untuk membaca doa sebelum dan selepas makan.
Doa Sebelum Makan :
"اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار"

Kebiasaanya, doa makan akan dibaca oleh imam bagi mewakili semua tetamu yang hadir sebelum tetamu menjamu selera. Kemudian, doa selepas makan akan dibaca mengikut individu iaitu terletak pada individu itu sendiri. Tidak lupa juga, mengucapkan Alhamdulillah juga merupakan adab selepas makan iaitu kita mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang telah mengurniakan rezeki.
Kesantunan yang dapat kita lihat disini ialah membaca doa sebelum dan selepas makan serta mengucapkan Alhamdulillah merupakan adab yang dituntut dalam islam. Ini menunjukkan bahawa sikap bersyukur tersebut merupakan kesantunan dalam kebudayaan yang mana para tetamu tidak merungut dengan makanan yang dihidangkan dan menerima apa sahaja yang dihidangkan dengan hati yang terbuka.

 Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat dirumuskan disini ialah, kebudayaan yang terdapat di Malaysia ini penuh dengan kesantunan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk terus mengamalkan dan memperbaiki adab dalam sesuatu situasi agar nilai-nilai kesantunan dalam budaya kita terus mekar bagi legasi yang akan datang. Masyarakat Melayu pada hari ini juga sepatutnya bangga dengan budaya yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Biar dianggap pelik demi mengangkat budaya kerana budaya ini identiti negara kita. Yang indah itu bahasa, cara pergaulan dan percakapan menunjukkan siapa diri kita dan identiti negara kita. Marilah kita bersama-sama memartabatkan kesantunan dalam kebudayaan kita agar kesantunan ini terus menjadi pegangan hidup kita.

Konsep Adab Semasa Makan


      Makhluk di muka bumi ini memang tidak akan terlepas daripada makan setiap hari. Hal ini demikian, setiap makhluk perlu makan makanan yang berkhasiat setiap hari bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Disini saya fokuskan pada manusia iaitu masyarakat Melayu. Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Melayu memang kaya dengan adat dan tradisinya yang tersendiri mengikut tempat masing-masing. Namun, asas kepada adab semasa makan masih menekankan konsep yang sama iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Selain itu, pemilihan makanan yang baik juga penting kerana makanan yang memasuki ruangan tubuh kita akan membentuk sahsiah diri. Sehubungan dengan itu, Islam juga telah mengesyorkan beberapa adab yang perlu kita amalkan dan mengharamkan umat Islam memakan makanan yang memberi mudarat kepada diri sendiri.

      Walaupun tajuk adab semasa makan ini dilihat sebagai suatu isu yang remeh, realitinya adab semasa makan ini penting kerana kita melakukannya setiap hari. Harus diingatkan bahawa perlakuan dan adab semasa makan juga melambangkan diri dan identiti negara kita.

Cara Mengatasi Penggunaan Bahasa Rojak Dalam Media Sosial

      Setiap masalah yang ada pasti ada jalan penyelesaiannya. Hanya kita yang perlu berusaha bagi memastikan jalan penyelesaian tersebut dapat dijalankan. Antara modus operandi yang dapat kita laksanakan bagi membasmi gejala penggunaan bahasa rojak dalam media sosial terletak pada diri kita sendiri. Tepuk dada, tanyalah pada diri kita sendiri tentang langkah yang perlu kita laksanakan. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa rasmi negara kita. Disini jelas menunjukkan bahawa sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengorak langkah membasmi penggunaan bahasa rojak di media sosial dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu. Langkah saujana yang perlu dilakukan oleh setiap rakyat Malaysia ialah dengan mengubah persepsi masing-masing yang menganggap bahasa Melayu merupakan bahasa yang kolot dan tidak mempunyai standard yang tersendiri kepada bahasa yang perlu dibanggakan dan unik. Mengubah persepsi terhadap bahasa melayu bermaksud kita juga perlu berhijrah daripada menggunakan bahasa rojak di laman sosial kepada bahasa melayu. Langkah ini merupakan langkah asas untuk mengatasi penggunaan bahasa rojak dalam laman sosial. Walaupun langkah ini nampak mudah, realitinya modus operandi inilah yang paling susah untuk dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia masih tidak sedar akan ironi yang terpaksa mereka hadapi sekiranya bahasa rojak dibiarkan terus menular. Bukan itu sahaja, langkah ini juga menuntut komitmen yang tinggi, sikap tidak berputus asa dan melepaskan batuk ditangga serta kesungguhan dalam membuat latihan daripada semua rakyat Malaysia.

      Selain itu, modus operandi yang kedua yang boleh dilaksanakan bagi membasmi penggunaan bahasa rojak dalam media sosial secara holistik ialah media massa perlu memainkan peranan dengan menapis terlebih dahulu mana-mana bahan sebelum disiarkan ke dalam media sosial. Hal ini demikian, media massa merupakan suatu pengaruh yang mampu mencipta fenomena dan mempengaruhi orang ramai melalui siaran-siaran yang ditayangkan. Tambahan lagi media massa merupakan suatu modus operandi yang paling efektif untuk membasmi penggunaan bahasa rojak dalam media sosial.

Punca Wujudnya Penggunaan Bahasa Rojak Dalam Laman Sosial



      Merujuk kepada isu-isu semasa globalisasi masa kini, apa yang saya dapati, faktor utama yang menyebabkan wujudnya penggunaan bahasa rojak dalam media sosial kita ialah sikap kita sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Menelusuri arus permodenan masa kini, harus diakui bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai sektor telah mendominasi dunia. Hal ini menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berpusu-pusu memantapkan diri dalam penggunaan bahasa inggeris bagi memenuhi permintaan global semasa dan kepentingan-kepentingan lain sama ada kepentingan peribadi mahupun global. Bertitik tolak daripada itulah penggunaan bahasa rojak mula mendominasi kehidupan seharian kita. Rakyat Malaysia sendiri tidak dapat memahami akan kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka dan tahap keyakinan mereka terhadap bahasa ibunda mereka sendiri menurun kerana permintaan global semasa yang lebih menuntut mereka untuk menguasai bahasa asing yang lain dan seterusnya menyebabkan penggunaan bahasa rojak semakin menular dalam kehidupan seharian. Penularan bahasa rojak yang semakin menular ini semakin membimbangkan lantaran penularan tersebut merupakan petanda akan kepupusan identiti Malaysia yang mempunyai bahasa Melayu yang sopan dan halus penggunaannya seterusnya dikhuatiri kepupusan kesantunan dan budaya Malaysia berlaku.
      Seterusnya, kita lensakan skop perbincangan kita pada faktor yang kedua iaitu penggunaan dialek mengikut negeri masing-masing, Malaysia mempunyai banyak dialek dalam penggunaan pertuturan mengikut negeri masing-masing. Hakikat yang harus diterima disini ialah penggunaan dialek ini sendiri merupakan salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya penggunaan bahasa rojak dalam media sosial kita dan seterusnya menghakis penggunaan bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, penggunaan dialek yang berbeza mengikut negeri masing-masing menyebabkan berlakunya salah faham apabila kita bertutur atau berkomunikasi menggunakan media sosial seperti whatsapp dan wechat bersama dengan orang lain yang menggunakan dialek yang berbeza dengan kita. Tambahan lagi, penggunaan dialek juga menghakis kesantunan dalam kehidupan seharian kita lantaran ada sesetengah negeri yang kita sedia maklum bahawa dialek pertuturan yang digunakan dalam kehidupan seharian agak kasar. Sebagai contoh, negeri Melaka memang terkenal dengan pertuturan seharian mereka yang agak kasar.


Bahasa Rojak???


      Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa rojak? Atau lebih ringkas lagi, apakah bahasa rojak? Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa percakapan seharian kita sebenarnya menggunakan bahasa Melayu yang salah. Mengapa? Sejujurnya, terlalu banyak persoalan yang bermain diminda apabila kita membincangkan isu penggunaan bahasa rojak dalam percakapan seharian kita, terutamanya hal yang meliputi bahasa ketika kita bercakap, menulis, membaca dan sebagainya. Bertitik tolak daripada itu, adakah kita sedar bahawa kita adalah salah satu insan yang menyumbang kepada kerosakan dalam bahasa Melayu?
      Untuk memahami dan membincangkan isu ini secara mendalam, kita harus mengetahui dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan bahasa rojak. Secara umumnya, bahasa rojak merupakan suatu amalan peralihan kod iaitu pencampuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan yang serupa berdasarkan bahasa Melayu. Amalan penggunaan bahasa rojak telah lama mendominasi pertuturan seharian kita lantaran penggunaan bahasa ini telah wujud sejak zaman parameswara lagi. Tambahan lagi, amalan penggunaan bahasa rojak ini sudah sebati dalam kehidupan kita kerana kita telah dibesarkan dengan menggunakan bahasa tersebut sehinggakan kita sendiri tidak sedar bahawa kita adalah perosak bahasa Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa amalan ini sukar untuk dikikis dari menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita

      Terdapat pelbagai komplikasi yang akan timbul pada masa yang akan datang jika kita hanya memandang enteng akan hal ini dan akan menjadi cabaran terbesar kepada negara bagi mengekalkan bahasa Melayu dan identiti negara lantaran bahasa melambangkan jiwa bangsa.

Selasa, 23 September 2014

Contoh Refleksi Generik Kemahiran Belajar

      Generik Kemahiran Belajar merupakan salah satu subjek yang perlu diambil oleh para pelajar Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP). Harus diakui juga bahawa subjek ini banyak memberikan idea yang bernas serta inovatif untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang menarik serta bernafas baharu seiring dengan era pembangunan teknologi masa kini. Seperti yang kita sedia maklum, subjek ini banyak memberi manfaat kepada para pelajarnya sekaligus merupakan medium terbaik bagi melahirkan barisan kepimpinan perguruan yang moden serta mengikut perkembangan semasa.

      Sebagai salah seorang pelajar PPISMP, saya turut berbangga untuk mempelajari dan mendapatkan sebanyak mana input berguna yang diberikan oleh pensyarah kepada saya agar saya boleh memanfaatkan segala ilmu yang dicurahkan dalam proses pengajaran saya kelak. Harus diakui bahawa dalam zaman yang serba canggih ini, penggunaan teknologi dalam proses pengajaran adalah digalakkan. Kementerian juga sudah menyediakan pelbagai kemudahan teknologi yang menuntut para guru untuk memanfaatkannya ketika mendidik anak bangsa.

      Seterusnya kita lensakan skop perkongsian kita pada pengalaman yang dapat diperolehi hasil daripada tugasan menyiapkan ‘slide master’. Dalam proses menyiapkan tugasan ini, saya telah berkolaborasi bersama Farah Nurliena sebagai pasangan. Kami telah ditugaskan untuk membuat dua bab atau tajuk yang berbeza sebagai tugasan kami. Penghasilan kedua-dua tajuk atau bab ini meninggalkan pengalaman yang berbeza buat kami.

      Manakala, bagi tugasan kedua pula, kami telah ditugaskan untuk membuat blog. Bagi tugasan yang kedua ini, saya sekali lagi belajar banyak perkara baru. Dunia blogger bukanlah satu perkara yang asing dalam hidup saya lantaran saya juga pernah mempunyai pengalaman menjadi penulis blog mahupun pembaca blog. Hal ini demikian, remaja dan alam maya tidak dapat dipisahkan. Namun, penghasilan blog kali ini membawa satu kelainan bagi diri saya. Jika dahulu saya menulis berdasarkan pandangan seorang remaja dan pelajar sekolah, kini saya menulis berdasarkan pandangan seorang guru pelatih. Isu yang dibangkitkan dalam blog juga tidak sama. Jika dahulu saya hanya menulis mengenai perasaan atau luahan, kini saya menjadikan blog saya sebagai medan ilmu iaitu tempat saya berkongsi pelbagai ilmu kehidupan seperti resepi-resepi masakan yang saya pelajari, seni penghasilan kraftangan daripada kain felt dan banyak lagi.

Proses Pembelajaran Membuat Slide Master

       Pada mulanya, kami telah diajar oleh pensyarah mengenai cara yang betul untuk membuat ‘slide master’. Ketika ini, saya berasa sangat teruja lantaran ini merupakan perkara baru buat saya. Harus diakui bahawa banyak perkara yang saya masih buta dalam bidang teknologi ini. Oleh itu, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Saya tidak melepaskan peluang yang terhampar di depan mata ini dan fokus bagi mendapatkan segala input yang berguna sepanjang proses pengajaran dilakukan oleh pensyarah tersebut. Bantuan yang diberikan oleh rakan-rakan juga amat membantu saya meningkatkan kefahaman dan seterusnya meningkatkan kemahiran saya untuk membuat ‘slide master’ ini. Tambahan lagi, kemahiran yang dipelajari ini boleh terus diamalkan sekiranya saya ditugaskan untuk membuat pembentangan dalam kelas untuk subjek-subjek yang lain.

Sistem Pengurusan Pembelajaran

      Ketika kami menyiapkan tugasan bagi bab ini, saya melalui pengalaman yang menyenangkan lantaran maklumat yang diperolehi mudah untuk didapati dalam pelbagai sumber. Malah, terlalu banyak sumber dan rujukan sehinggakan saya terpaksa membuat beberapa analisis maklumat bagi mendapatkan input yang tepat dan ringkas serta holistik bagi penghasilkan ‘slide’ yang ringkas dan padat. Semangat bekerjasama yang ditunjukkan semasa saya berkolaborasi bersama pasangan juga banyak membantu sepanjang penghasilan tugasan ini. Hal ini demikian, pepatah inggeris ada mengatakan bahawa ‘two heads is better than one’ iaitu kerja yang dihasilkan secara bekerjasama dengan orang lain lebih baik daripada kerja yang dilakukan secara individu. Mengapa? Sekiranya anda melakukan aktiviti secara berpasangan, anda boleh membuat perbincangan iaitu berkongsi maklumat, idea, dan pandangan. Malah, kerja yang dirasakan susah juga akan menjadi senang kerana anda boleh membahagikan kerja tersebut. Saya sendiri merasainya ketika pelaksanaan tugasan ini berlangsung iaitu Farah Nurliena banyak membantu saya dalam penghasilan tugasan ini bersama-sama. Tambahan lagi, perkongsian idea yang dikemukakan telah menjadikan mutu ‘slide master’ yang dihasilkan lebih baik jika dibandingkan dengan sebelumnya.

Sikap Terhadap Pentaksiran

      Penghasilan ‘slide master’ bagi tajuk atau bab ini pula memberikan banyak kekangan kepada kami. Malah, penghasilan bagi tajuk ini amat-amat mencabar bagi saya. Hal ini demikian, tajuk yang diberikan membawa skop yang terlalu luas sehinggakan saya tidak tahu maklumat atau input apa yang harus diambil dan tepat seperti yang dikehendaki oleh proforma. Hasil daripada kolaborasi yang dilakukan bersama pasangan juga menemui jalan buntu lantaran kami yang masih cetek ilmu pengetahuan ini masih terkapai-kapai mencari maklumat yang tepat sedangkan masa semakin mencemburui kami.

Penghasilan Blog

      Seperti yang kita sedia maklum, remaja dan alam maya tidak dapat dipisahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa saya telah mengenali dunia blog semenjak saya di bangku sekolah lagi. la Malah, saya juga pernah mencuba untuk menjadi penulis blog suatu ketika dahulu. Namun, hasrat itu hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja lantaran jadual sekolah yang padat serta tiada akses internet di rumah menyebabkan impian dan hasrat tersebut terkubur begitu sahaja. Walaubagaimanapun, asas penghasilan blog yang telah dipelajari suatu masa dahulu dapat saya manfaatkan. Tambahan lagi, bimbingan yang ditunjukkan oleh pensyarah juga banyak membantu saya menghasilkan blog bagi menyiapkan tugasan saya. Malah, kebebasan yang diberikan oleh pensyarah juga menaikkan semangat saya untuk terus menghasilkan sebuah blog mengikut kreativiti yang saya suka dan maklumat yang disampaikan melalui blog saya juga bebas selagi maklumat tersebut berbentuk ilmiah. Semasa proses penghasilan blog ni saya tidak banyak mengalami masalah kerana sudah mempunyai pengalaman. Malah, terdapat banyak sumber yang saya boleh jadikan rujukan sekiranya ada yang saya kurang pasti seperti cara memasukkan lagu kedalam blog, cara menghias blog, templates dan reka letak blog yang bersesuaian. Hal ini demikian, berlaku beberapa perubahan cara kerana teknologi di Negara kita sudah berkembang pesat. Oleh itu ada beberapa perkara yang telah berubah membuatkan saya sedikit keliru dengan asas yang saya pelajari dahulu.

Kekuatan

      Setiap manusia ada kelebihan yang tersendiri. Antara kekuatan yang saya dapat nyatakan disini sepanjang saya melakukan tugasan yang diberi ialah saya sudah mempunyai pengalaman membuat blog saya sendiri sebelum ini. Oleh itu, pengalaman tersebut sedikit sebanyak membantu saya untuk menghasilkan blog bagi menyempurnakan tugasan ini.

      Kedua, saya juga mempunyai guru yang cukup berdedikasi dalam memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai bahagian-bahagian yang tidak difahami tanpa penat lelah. Malah, tunjuk ajar yang diberikan amat membantu saya untuk menyempurnakan blog ini.

     Ketiga, kemudahan yang mencukupi juga membantu saya untuk menyiapkan tugasan ini dalam waktu yang ditetapkan. Kemudahan-kemudahan tersebut merangkumi penggunaan computer riba dan internet kepunyaan sendiri yang banyak membantu melancarkan proses penghasilan blog ini.

Kekangan –kekangan Yang Dihadapi

      Tidak ada perkara yang mudah dalam hidup ini. Setiap pekerjaan yang dilakukan sudah pasti ada cabarannya. Harus diakui bahawa walaupun tugasan yang diberikan nampak ringkas dan mudah untuk dilakukan dan dilaksanakan namun ia sebenarnya mempunyai cabarannya yang tersendiri.

      Antara kekangan yang terpaksa saya hadapi ialah ketika proses pencarian maklumat dilakukan. Hal ini demikian, ada sesetengah tajuk yang banyak maklumat dan mudah didapati. Namun, ada sesetengah tajuk pula yang amat susah untuk didapati lantaran kekeliruan yang timbul antara saya dan pasangan iaitu semasa menyiapkan tugasan pertama (slide master). Namun, kekangan yang dihadapi tidak memutuskan semangat kami untuk terus menyiapkan tugasan yang diberi tepat pada waktunya

      Kedua, saya juga mengalami kekangan waktu untuk menyiapkan tugasan ini. Hal ini demikian, waktu yang tinggal buat saya memurnikan tugasan saya amat singkat menyebabkan ada bahagian-bahagian yang sebenarnya masih boleh diperbaiki lagi mutunya. Namun, harus diakui bahawa kekangan masa ini juga berpunca dari diri saya sendiri yang masih tidak mahir dalam menguruskan masa yang ada dengan sebaiknya.

      Ketiga, saya juga mengalami masalah persefahaman iaitu ada sesetengah perkara atau pendapat saya yang bercanggah dengan pasangan semasa menyiapkan ‘slide master’. Namun, sikap toleransi yang diamalkan oleh kedua-dua belah pihak menyebabkan kami memperolehi kata sepakat dalam masa yang singkat dan tugasan dapat diteruskan.

      Keempat, kekurangan kemahiran dalam penggunaan teknologi masa kini menyebabkan saya mengambil masa yang agak lama bagi sesuatu pekerjaan. Hal ini demikian, saya agak keliru dengan arahan yang diberikan untuk saya melakukan pekerjaan. Contohnya, saya menghadapi beberapa kekeliruan dengan arahan yang diberikan untuk memasukkan lagu ke dalam blog saya kerana asas yang saya pelajari dahulu agak berlainan dengan sekarang. Namun, harus diakui bahawa teknolohi yang makin canggih ini hanya bertujuan untuk membantu memudahkan para pengguna.

Harapan Untuk Masa Mendatang


      Saya amat berharap agar saya diberikan tugasan-tugasan yang lebih mencabar dan menarik untuk diterokai. Hal ini demikian, masih banyak lagi ilmu yang harus kutip dan pengalaman yang saya dapati ketika menyiapkan tugasan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.  Jika saya diberi peluang kedua, saya amat berharap agar saya diberikan masa tambahan bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada tugasan yang telah saya buat seterusnya memurnikan lagi tugasan yang dihasilkan. Saya juga tidak akan teragak-agak untuk memberikan sepenuh komitmen dan kekal komited dalam menjalankan tugasan yang diberi oleh pensyarah pada masa mendatang.