Selasa, 28 Oktober 2014

Nasib Pendidikan Khas di Malaysia

1.0 Pendahuluan

Menelusuri arus pemodenan negara masa kini, harus diakui bahawa telah banyak perubahan yang berlaku terhadap sistem pendidikan negara kita. Bertitik tolak daripada itu, sama ada kita sedar mahupun tidak lantaran terlalu dimanjakan dengan pembangunan yang begitu pesat membangun, setiap perubahan yang berlaku sedikit sebanyak ada memberi impak yang baik mahupun impak yang buruk dalam kehidupan seharian kita. Seperti yang kita sedia maklum, pendidikan dalam diri setiap insan merupakan suatu elemen penting bagi mencorakkan masa depan yang cerah. Mengapa? Hal ini demikian, pendidikan merupakan suatu wadah utama bagi setiap pembangunan yang dilaksanakan di negara kita.

Bukan itu sahaja, bidang pendidikan di Malaysia telah banyak melalui proses transformasi seiring dengan kepesatan pembangunan yang berlangsung. Mengapa? Hal ini demikian, kerajaan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada bidang pendidikan kerana melalui pendidikan sesebuah negara akan terus berkembang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Apa hubungannya? Begini, anak ibarat sehelai kain putih dan pendidikan yang baik akan mencorakkan keperibadian yang cemerlang bagi seseorang individu. Keperibadian seseorang itu tidaklah bergantung kepada peranan ibu bapa sahaja sebagai ‘role model’ malah pendidikan yang sempurna juga memberikan impak yang besar dalam diri anak-anak. Oleh itu, jelaslah bahawa bidang pendidikan negara merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja.

Menyentuh kepada bidang pendidikan negara, pelbagai transformasi yang dilakukan bukan bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak dengan setiap pembaharuan yang dilakukan. Tetapi ia bertujuan untuk memperhalusi setiap perkara agar tidak ada satu pun perkara penting terlepas pandang. Contoh yang dapat kita lihat ialah Akta Pendidikan 1996 yang mana dalam akta ini telah timbul satu penekanan yang baru iaitu berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas. Akta ini telah menekankan bahawa pendidikan adalah untuk semua iaitu kanak-kanak berkeperluan khas juga layak untuk menerima pendidikan yang sepatutnya. Mengapa? Hal ini demikian, sebelum ini, kanak-kanak istimewa ini sering dipandang sebelah mata atau lebih tepat nasib mereka tidak dihiraukan. Malah, ada keluarga yang menyorokkan anak-anak istimewa mereka hanya untuk menutup rasa malu mempunyai anak yang tidak sempurna seperti kanak-kanak normal yang lain. Namun, jika kita lihat pada masa kini, sudah ramai kanak-kanak berkeperluan khas mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Malah, jangan terkejut sekiranya mereka memperolehi pencapaian yang lebih cemerlang dan membanggakan negara berbanding dengan kanak-kanak normal yang lain. Ya, semuanya bermula dengan pendidikan.


2.0  Isu-isu Dalam Pendidikan Khas


2.1 Sikap Ibu Bapa

 Ibu bapa merupakan tunggak utama dalam mencorakkan anak-anak mereka. Hal ini demikian, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa jelas memainkan peranan yang penting dalam pengesanan tanda-tanda awal atau respon yang tidak normal anak-anak mereka. Mengapa? Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak ketika mereka kecil sehinggalah mereka dewasa.
Namun, menelusuri arus pemodenan masa kini, kita seakan-akan sudah lali dengan tabiat masyarakat yang terlalu taksub dengan kebendaan atau materialistik. Ibu bapa seolah-olah lebih memberi perhatian kepada kerjaya masing-masing tanpa menghiraukan perkara utama yang sepatutnya menjadi penekanan mereka. Dalam konteks ini, suka saya nyatakan bahawa ibu bapa masa kini sudah terang lagikan bersuluh ibarat melepaskan batuk ditangga apabila isu tanggungjawab mereka diutarakan. Mengapa?
Sikap duniawi ibu bapa masa kini telah menjadikan mereka meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada guru. Ibu bapa memberikan kepercayaan yang tinggi kepada guru di sekolah untuk mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna. Hal ini bertambah buruk apabila ibu bapa itu sendiri yang enggan memahami perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran anak mereka di sekolah. Dalam hal ini kita fokuskan pada ibu bapa kepada murid bekeperluan khas. Bukankah penglibatan ibu bapa dan guru dalam menjamin keberkesanan sesuatu modus itu berjalan lancar amat penting?  Ya, mungkin kesedaran mengenai pendidikan khas juga merupakan salah satu faktor mengapa ibu bapa hanya mengambil enteng mengenai pendidikan yang bakal anak bekeperluan khas mereka terima di sekolah.

Tahukah anda? Bahawa kurangnya kesedaran mengenai pendidikan khas ini juga akan menimbulkan kolaborasi yang kurang effisien antara ibu bapa dan guru. Maka, siapa yang menjadi mangsanya kalau bukan murid bekeperluan khas tersebut.    Dalam konteks ini, kita fokuskan pada peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam mengesan sebarang tindak-tanduk anak yang diluar daripada kebiasaan kanak-kanak normal. Apa? Ibu bapa sepatutnya lebih peka dengan perangai yang ditunjukkan anak-anak mereka sejak awal lagi iaitu memerhati dan mengesan kelemahan atau kekurangan anak mereka bermula daripada peringkat awal.  Disini ingin ditegaskan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya mengambil mudah perkembangan anak mereka. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan sahaja anak mereka sekiranya mereka dapat mengesan apa-apa yang diluar kebiasaan kanak-kanak normal. Tambahan lagi, pengesanan awal kecacatan dapat membantu anak-anak tersebut memulihkan kecacatan yang dihadapinya sekiranya pengesanan dapat dilakukan dengan lebih awal walaupun rawatan yang dijalankan tidak menjamin kanak-kanak tersebut sembuh dan menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain. Namun, dunia materialistik yang dikejar oleh ibu bapa masa kini sudah pasti mengehadkan mereka untuk lebih memberi perhatian kepada anak mereka lalu peranan yang sepatutnya mereka galas hanya terbiar sepi dan kanak-kanak bekeperluan khas ini yang menjadi mangsa keadaan.

Berbalik kepada skop utama kita iaitu kebergantungan ibu bapa kepada pihak sekolah  itu sendiri sebenarnya sudah banyak memberikan cabaran kepada dunia pendidikan khas. Hal ini demikian, kesibukan yang dilalui oleh ibu bapa sudah pasti menimbulkan jurang yang besar antara ibu bapa itu sendiri dengan anak mereka. Sekaligus memberikan impak yang besar dalam diri anak mereka. Kesibukan mereka menjadikan mereka terlalu bergantung kepada pihak sekolah untuk mengajar anak mereka dalam pelbagai aspek yang berbeza sehinggalah anak berkeperluan khas mereka mampu hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

2.2  Kualiti Pendidikan

Kualiti pendidikan dan kualiti guru merupakan suatu elemen yang tidak dapat dipisahkan. Menurut Sulaiman Daud (1995), menjelang abad ke-21, pendidikan bukan sahaja hanya memerlukan kita melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang industri dan teknologi, pegurusan dan perdagangan sahaja malah harus menghasilkan insan yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, berperibadi mulia, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan masyarakat dan negara (dalam Shahril dan Habib 2001). Mendepani arus globalisasi dan era pembangunan yang pesat ini, peranan sekolah juga berubah dan para guru perlu meningkatkan aras pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang baru untuk membolehkan mereka mengikut peredaran masa kini agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Apakah cabaran kepada guru masa kini? Cabaran para guru masa kini merangkumi usaha mereka melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran-kemahiran yang berguna seperti kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran dalam menangani masalah disiplin dan gejala sosial, kemahiran dalam pengurusan sekolah yang berkesan serta banyak lagi kemahiran yang perlu dititikberatkan. Oleh itu, untuk menjadi suatu barisan para guru yang berdedikasi dan sentiasa bersemangat serta mudah mentransformasikan diri mengikut peredaran masa yang semakin pesat berkembang bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng . Malah, tidak semua guru dapat mengadaptasikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam masa yang singkat. Hal ini demikian, mereka perlu mengambil masa bagi mempelajari sesuatu kemahiran baru seperti kemahiran teknologi maklumat dalam proses pengajaran.

Persoalannya? Adakah barisan guru yang wujud di Malaysia ini sudah cukup bersedia dan kompeten dalam menangani cabaran-cabaran yang mendatang? Adakah pembaharuan atau perubahan dalam perkhidmatan dan kejayaan yang diperolehi dalam dunia pendidikan negara sudah menunjukkan tahap kompetensi guru di Malaysia?

Apa yang dapat saya akui disini ialah guru-guru di Malaysia sepatutnya berasa amat bertuah kerana mempunyai suatu institusi kerajaan yang begitu prihatin dan menitikberatkan kemajuan dan kebajikan perkhidmatan. Buktinya, sebanyak sembilan kali pengemakinian Skim Perkhidmatan Pendidikan telah dilaksanakan di bawah empat laporan semakan gaji.

Tambahan lagi, setiap pembaharuan yang dilaksanakan amat mementingkan kebajikan para guru. Contohnya, Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah berkuatkuasa mulai 1 November 2002 telah diperkenalkan dengan membawa satu matlamat dan tekad untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam secara menyeluruh dan merupakan reformasi dalam pengurusan manusia. Perkara ini merupakan suatu modus operandi bagi mewujudkan tenaga kerja yang berpengetahuan luas dan sekaligus dapat mewujudkan perkhidmatan yang cemerlang.

2.3  Kesusahan Meraih Kepercayaan Murid

Dari sudut pandangan yang berbeza, aspek individu murid adalah berbeza antara satu sama lain mengikut murid itu sendiri. Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu boleh ditakrifkan sebagai suatu variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulannnya sama ada dari segi kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek-aspek lain yang mungkin terdapat sesama individu dalam suatu kumpulan.
Dalam konteks ini, kita fokuskan pada isu utama iaitu bagaimana guru-guru pendidikan khas mendapatkan kepercayaan dari anak-anak istimewa ini. Seperti yang kita sudah ketahui, kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai sikap yang berbeza dan keperluan bagi setiap mereka juga berbeza mengikut kekurangan diri masing-masing. Lumrahnya, bukan mudah buat seorang guru pendidikan khas berhadapan dengan kanak-kanak bekeperluan khas ini. Malah, proses kesediaan mereka untuk memasuki suatu perkara baru seperti memasuki alam persekolahan juga mempunyai cara yang tersendiri berbeza dengan kanak-kanak normal yang lain. Perkara ini dapat dilihat jelas melalui beberapa faktor seperti faktor kematangan dan kesediaan fizikal mereka berhadapan dengan suasana baru dan rakan-rakan yang baru di sekolah.

Cabaran bagi guru-guru pendidikan khas tidak terhenti disitu sahaja, malah permulaan bagi cabaran yang menguji kredibiliti mereka sebagai seorang guru teruji lagi dengan mereka perlu berhadapan denga pelbagai kerenah daripada kanak-kanak berkeperluan khas. Mengapa? Hal ini demikian, sebahagian besar daripada mereka tidak pernah mengetahui kewujudan alam persekolahan pada peringkat awal. Umumnya, kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas tidak suka kepada suatu pembaharuan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, sudah pasti mereka mahukan layanan yang diterima disekolah itu serupa dengan layanan yang diberikan kepada mereka di rumah. Dalam hal ini, guru perlu sentiasa peka dengan keperluan mereka iaitu merangkumi pengurusan dari aspek emosi dan amalan berdikari.

Cabaran yang jelas kelihatan ialah apa yang diberi oleh guru sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka terima dirumah. Oleh itu, amat sukar bagi guru untuk berhadapan dengan kanak-kanak berkeperluan khas yang rata-ratanya mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Apa yang dapat saya rumuskan disini ialah, guru pendidikan khas perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan diiringi dengan perasaan prihatin serta penyayang bagi meraih kepercayaan mereka.

2.4 Kelas Inklusif

Apakah yang dimaksudkan dengan kelas inklusif? Kelas inklusif mula dilaksanakan selepas Rangka Tindakan Biwako dilaksanakan pada tahun 2002. Apakah Rangka Tindakan Biwako? Rangka Tindakan Biwako merupakan salah satu subtopik dibawah bab Perundangan Pendidikan Khas yang mana nama biwako itu sendiri diambil sempena nama tasik Biwa yang terletak di kawasan Shiga, Jepun. Rangka tindakan ini membincangkan tentang tindakan untuk mempromosikan pendidikan inklusif, hak-hak kebebasan dan keperluan sosial untuk orang kurang upaya. Keperluan sosial dalam konteks ini merangkumi hak-hak asasi manusia iaitu pembangunan diri dan warga kurang upaya diberi keutamaan.

Yang menjadi tunjang perbincangan kita dalam konteks ini ialah adakah kelas inklusif yang dilaksanakan itu sendiri sudah cukup releven untuk terus dilaksanakan? Begini, kelas inklusif merupakan suatu program yang mana para pelajar berkeperluan khas akan ditempatkan di dalam kelas yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Penggabungan tersebut sudah pasti sedikit sebanyak akan menimbulkan kesan negatif dan positif dalam kalangan para pelajar itu sendiri mahupun dalam kalangan guru. Mengapa?
Kita fokuskan pada kesan positif dahulu iaitu kanak-kanak berkeperluan khas dapat bergaul dengan kanak-kanak normal dengan lebih dekat iaitu mereka dapat membiasakan diri atau mengadaptasikan diri untuk bergaul dengan masyarakat apabila mereka berada di dunia luar kelak. Malah, penggabungan tersebut juga mampu memberi kesedaran kepada masyarakat luar mengenai kewujudan mereka dalam kehidupan seharian. Yang menjadi persoalannya, bagaimana guru-guru menangani konflik-konflik yang berlaku di dalam kelas? Bukankan cara pengajaran dan pendekatan yang digunakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas berbeza dengan kanak-kanak normal?

Ya, sudah pasti. Kurikulum yang disediakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas lebih menekankan mereka untuk belajar melakukan sesuatu aktiviti rutin dalam kehidupan seharian sehingga mereka mampu untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Tambahan lagi, tidakkah penggabungan yang dilakukan tersebut bakal mengganggu kanak-kanak normal mahupun kanak-kanak berkeperluan khas itu sendiri.
Dalam sudut yang berbeza pula, bagaimana guru hendak mengajar dalam kelas inklusif? Iaitu bagaimana guru tersebut dapat menetapkan aras dan pengajaran yang sesuai bagi setiap murid yang ada dalam kelas mereka? Maka, disini kita dapat lihat cabaran yang perlu ditempuhi oleh para guru kerana apabila kelas inklusif dilaksanakan, maka guru biasa turut sama perlu mengetahui kemahiran-kemahiran menguruskan kanak-kanak berkeperluan khas yang selama ini hanya dipelajari oleh guru-guru pendidikan khas. Hanya guru pendidikan khas sahaja yang dibekali dengan ilmu dan kemahiran-kemahiran untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas.


3.0  Implikasi Kepada Isu Pendidikan Khas di Malaysia
Setiap yang berlaku sudah pasti memberikan sedikit sebanyak impak dalam kehidupan kita. Dalam konteks ini, saya sertakan implikasi isu-isu pendidikan khas yang berlaku di Malaysia dari sudut positif mahupun negatif. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Peningkatan Tahap Professional Guru

Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar berbanding menjadi guru biasa. (Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut merupakan kata-kata daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini hanya menjadi seorang guru biasa. Cikgu Alizah Bt Abdul Malek juga berkata bahawa kehidupan sebagai seorang guru pendidikan khas amat mencabar kerana pelbagai kerenah murid terpaksa dihadapinya setiap hari. Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota juga turut menyokong pendapat tersebut dengan mengatakan bahawa menjadi seorang guru pendidikan khas sangat mencabar.

Mungkin ramai yang tidak tahu akan keadaan-keadaan yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru pendidikan khas di sekolah. Mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi yang amat menguji kesabaran dan kredibiliti mereka sebagai seorang guru.
Implikasinya, dengan berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencemaskan mahupun sebaliknya, guru-guru tersebut mampu meningkatkan tahap professional mereka sebagai seorang guru melalui pelbagai pengalaman yang mereka telah lalui. Bukan itu sahaja, pengalaman yang mereka telah perolehi itu juga sudah pasti mampu mematangkan lagi pemikiran seorang guru untuk terus membuat pelbagai inovasi bagi mengajar kanak-kanak berkeperluan khas dan seterusnya insan istimewa ini juga mampu bersaing dengan kanak-kanak normal yang lain walaupun mengambil sedikit masa.

Tambahan lagi, pengalaman mengajar erti kehidupan. Tahap professional seorang guru juga mampu dipupuk dan ditingkatkan apabila pelbagai situasi yang mereka hadapi membuatkan mereka terus memikirkan cara untuk mendapatkan ilmu sama ada menyambung pembelajaran, menghadiri kursus, membaca dan sebagainya. Malah, kemahiran-kemahiran yang sedia ada juga sudah pasti akan ditambah baik dan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Hal ini merupakan suatu elemen yang penting yang perlu diberikan nafas baharu seiring dengan perubahan pembangunan negara.

 Proses Pengajaran dan Pembelajaran yang Lebih Menarik

Seperti yang kita sedia maklum, proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas adalah berbeza dengan kanak-kanak normal iaitu pendekatan yang digunakan kepada mereka lebih unik dan bersifat santai. Hal ini demikian, proses pengajaran yang menarik dan pelbagai mampu menarik minat mereka dan membuatkan tahap fokus mereka dalam kelas meningkat berbanding dengan proses pengajaran yang biasa.

Dalam konteks ini, saya luaskan fokus perbincangan kita iaitu merangkumi kanak-kanak berkeperluan khas dan pelajar biasa. Umumnya, kanak-kanak amat suka kepada perkara baharu yang menarik. Oleh itu, pengajaran yang pelbagai merupakan salah satu input yang penting untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku lebih berkesan.

Bagaimana? Seperti konteks perbincangan kita yang sebelum ini, iaitu saya telah menerangkan tentang peningkatan tahap professional guru yang mana ia terus meningkat dengan pengalaman-pengalaman yang dihadapi para guru seiring dengan perubahan arus pemodenan negara. Pengalaman yang dihadapi para guru sudah pasti mematangkan diri mereka dan sekaligus mampu membuatkan mereka berfikiran lebih kreatif dan kritis atau kemahiran berfikir aras tinggi.

Selain itu, pengalaman mereka berhadapan dengan kerenah para pelajar yang pelbagai juga sudah pasti membuatkan mereka lebih bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku. Oleh itu, perancangan pengajaran yang baik sudah pasti akan dirangka lebih awal dan lebih teratur sebelum proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Malah, perancangan awal yang lebih teratur ini juga akan menghasilkan suatu aktiviti yang menarik kerana para guru mampu merancang sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlainan didalam kelas.

Contohnya, para guru boleh mempraktikkan atau menyelitkan beberapa proses terapi ringkas sebagai permulaan bagi setiap proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Tambahan lagi, perancangan yang awal sudah pasti akan memberi ruang dan waktu kepada para guru untuk menyiapkan beberapa bahan bantuan mengajar yang menarik dan ringkas untuk para pelajar. Kesannya, para pelajar lebih tertarik dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung serta matlamat sesuatu proses pengajaran akan tercapai.

Etika Guru Terjaga

Mendepani pelbagai kerenah pelajar sudah pasti sedikit sebanyak mengganggu emosi seseorang guru itu. Namun, pemupukan sikap sabar dalam diri para guru terutamanya guru pendidikan khas ketika mereka berdepan dengan para pelajar berkeperluan khas sudah pasti mampu menjaga etika guru disamping terus menambah baik etika tersebut. Hal ini demikian, sudah terang lagikan bersuluh, para guru memerlukan sikap sabar yang tinggi, penyayang, jujur serta bertanggungjawab.

Sikap-sikap yang dipupuk sebati dalam diri para guru semasa berhadapan dengan kerenah murid sudah pasti memberikan impak yang besar dalam diri mereka seterusnya memberikan pandangan positif terhadap etika para guru.

Sekiranya para guru sudah terbiasa dan sebati dengan niali-nilai murni atau etika yang baik, sudah pasti isu-isu yang membabitkan para guru dan pelajar dalam Malaysia dapat dikurangkan. Seterusnya profession keguruan juga dapat memperlihatkan suatu imej yang baik dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

Pelaksanaan Pendidikan Inklusif

Menelusuri sejarah pendidikan negara, pendidian inklusif sebenarnya telah dimulakan pada tahun 1962 yang mana 3 orang pelajar cacat penglihatan telah belajar didalam kelas yang sama dengan bantuan guru khas resos. Manakala pada tahun 1993 seramai 3 orang pelajar cacat pendengaran telah ditempatkan ditingkatan enam rendah di SMK(L) Methodist Kuala Lumpur. Tidak henti disitu, pada sesi persekolahan tahun1994/95 pula bermula satu episod baru iaitu projek rintis mula dilaksanakan dengan 14 buah sekolah di Malaysia bagi program KKBP.

Seperti yang telah dinyatakan diatas, pendidikan inklusif yang dijalankan mungkin akan memberi kebaikan. Hal ini demkian, para pelajar akan dapat bergaul dan bersaing dengan rakan-rakan sebaya mereka yang normal. Tetapi cabaran kepada guru itu sendiri yang menjadi persoalan. Apa? Bagaimana seorang guru itu dapat memastikan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas tersebut mampu atau faham dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain? Sedangkan akta pendidikan khas yang dilaksanakan telah memperkenalkan kurikulum dan kokurikulum khas buat kanak-kanak berkeperluan khas. Ya, jika kita lihat secara umumnya, memang nampak mudah. Tetapi yang menyukarkan sekarang ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh guru itu sendiri.

Sekiranya kanak-kanak berkeperluan khas ini diasingkan, maka para guru akan lebih mudah untuk memberikan perhatian kepada satu-satu pelajar. Mengapa? Hal ini demikian, penempatan jumlah murid berkeperluan khas untuk seorang guru bagi satu-satu masa adalah dalam jumlah yang kecil. Contohnya, seorang guru hanya perlu mengajar 3 orang murid berkeperluan khas dalam satu kelas. Di sini jelas menunjukkan bahawa guru tersebut boleh memberikan sepenuh perhatian kepada satu-satu pelajar berbanding jika pelajar tersebut ditempatkan dengan kanak-kanak normal yang lain iaitu guru tersebut perlu bijak menggunakan peluang yang ada untuk bersikap adil dengan semua pelajar.

Bukan itu sahaja, pelaksanaan pendidikan inklusif ini juga dikhuatiri mengganggu proses pembelajaran para pelajar sama ada pelajar berkeperluan khas mahupun pelajar normal itu sendiri. Mengapa? Umumnya, kita ketahui bahawa pelajar berkeperluan khas mengambil masa yang agak lama untuk mempelajari sesuatu perkara iaitu mereka perlu diajar berulang kali. Lebih sinonim di dalam pendidikan khas ialah terapi langkah kerja atau terapi bibir yang mana guru perlu melakukan perkara tersebut berulang kali dan menyuruh para pelajar mengikutnya sehingga mereka mampu melakukannya. Contohnya, terapi gerak bibir sering dilakukan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah komunikasi atau bahasa. Iaitu, guru akan menyebut suatu perkataan seperti ‘makan’ berulang kali dan pelajar tersebut perlu menyebutnya sehingga dia berjaya. Perkara ini nampak ringkas dan mudah. Tetapi cuba anda bayangkan anda mengajar menggunakan kaedah ini dalam kelas kanak-kanak normal. Sudah pasti mereka akan merasa jemu dan bosan apabila mereka mempelajari perkara yang sama berulang kali. Maka, jelaslah jurang perbezaan antara kanak-kanak normal dan kanak-kanak berkeperluan khas.


4.0  Cadangan dan Usaha Mengatasi

Setelah menghuraikan beberapa isu dan implikasinya kepada profesion keguruan, maka sudah pasti ada beberapa perkara atau cadangan yang dapat disimpulkan agar penambah baikan terus berlaku seiring dengan arus pembangunan negara.

Cadangan pertama yang ingin diusulkan ialah tertumpu kepada para guru iaitu mereka perlu terus menerus memperkasa emosi dalam membentuk sikap pelajar. (Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman Abd Aziz, 2009). Apakah emosi? Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah mentakrifkan emosi sebagai perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih dan marah. Oleh itu, emosi jelas menunjukkan ciri-ciri jiwa manusia yang mempamerkan atau menzahirkan sesuatu perasaan yang berpunca daripada psikologi, tingkah laku dan naluri manusia. Seorang guru perlu mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk menangani ketidakstabilan emosi yang dialami yang berpunca daripada tekanan hidup yang dihadapi. Hal ini demikian, guru adalah insan utama yang akan melayan setiap kerenah para pelajarnya. Berbeza dengan ibu bapa kerana ibu bapa hanya melayan kerenah anaknya sahaja tetapi seorang guru perlu melayan setiap kerenah anak muridnya. Bertambah rumit lagi setiap anak murid sudah tentu mempunyai ragamnya yang tersendiri. Oleh itu, adakah anda yakin bahawa setiap guru itu mampu untuk mendepani anak muridnya setiap hari? Tanpa hati yang cekal sudah tentu para guru juga akan rebah atau tersilap langkah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Atau terlajak perlakuan? Adakah boleh ditarik balik? Dengan ini, jelaslah bahawa pemerkasaan emosi merupakan suatu elemen yang penting dalam membentuk sikap pelajar.

Kedua, guru juga perlu menghasilkan atau mempraktikkan suatu pendekatan untuk membentuk tingkah laku murid supaya murid tersebut mudah untuk dikawal terutamanya sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Contohnya, terdapat pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan seperti bercerita dalam membentuk tingkah laku murid. Tahukah anda? Bahawa cerita merupakan salah satu terapi untuk intervensi kaunseling kanak-kanak. Malah terapi ini sinonim dengan seni mempengaruhi orang lain dengan penceritaan yang disampaikan. Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. (Lee Keok Cheong et al. 2002). Bagaimana? Para guru boleh menceritakan pelbagai cerita teladan sebagai pencerahan bagi murid mengenai pengajaran bagi setiap perkara negatif yang dilakukan. Namun, harus ditegaskan bahawa setiap genre cerita yang dipilih mestilah menepati dan bersesuaian dengan perkembangan murid. Dari aspek yang lain pula, kaedah penceritaan kisah teladan ini juga merupakan salah satu inovasi yang dapat dilakukan para guru untuk menarik perhatian para pelajar seterusnya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku lebih menarik dan tidak membosankan. Bukan sahaja tidak membosankan para pelajar, malah guru juga turut terhibur dengan reaksi para pelajarnya yang pelbagai.

Ketiga, lahirnya guru mesra OKU dapat membentuk guru pendidikan khas yang baik dan prihatin seterusnya sudah pasti seorang guru yang mesra terhadap anak murid. Bagaimana? Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi melahirkan barisan guru yang berkredibiliti tinggi, sudah pasti pemupukan dan pemantapan insaniah dan lahiriah seseorang guru tersebut perlu bermula sejak awal lagi iaitu sejak guru-guru itu menjejakkan kaki dan berada dalam latihan perguruan lagi. Kita tidak sempitkan perbincangan kita pada guru pendidikan khas sahaja. Tetapi merangkumi kepada semua guru yang ada di negara kita. Setiap guru perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran mengesan ketidaksempurnaan anak didik mereka. Pengesanan awal yang dilakukan membolehkan guru tersebut merujuk masalah yang dikenal pasti kepada pakar. Sama ada percaya atau tidak, program ini telah menerima sokongan daripada pihak TWINTECH International University College of Technology (TWINTECH). Malah TWINTECH telah menawarkan pelbagai program yang bertujuan untuk memberikan bantuan dan sokongan yang padu kepada kerajaan hanya untuk satu matlamat yang jelas iaitu melahirkan barisan guru prihatin dan mesra orang kelainan upaya (OKU). Tambahan lagi, pihak universiti tersebut telah mengambil tindakan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib bagi setiap graduan, melahirkan guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan sebagainya (Mymetro, 2012). Melalui cadangan ini, persepsi guru-guru biasa juga turut berubah lantaran lahirnya guru-guru yang mesra orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat luar juga turut mesra dengan orang kelainan upaya (OKU). Jika kita hamparkan lagi skop pemikiran, kita akan dapati bahawa selain daripada guru-guru dan masyarakat luar, orang kelainan upaya itu sendiri juga akan berasa lebih selesa dan tidak berasa rendah diri untuk berhadapan dengan dunia luar yang penuh pancaroba ini.
  

5.0  Rumusan

Pada pandangan saya, tugas sebagai guru pendidikan khas amat mencabar kepada sesiapa yang menggalasnya. Bukan guru pendidikan khas sahaja, tetapi semua guru juga begitu. Tugas ini juga sudah pasti menjadi suatu perkara yang amat membebankan bagi seorang guru yang hakikatnya masih belum menguasai tahap kesabaran dan keikhlasan yang tinggi dalam menjalankan tugas.

Maka disini jelaslah bahawa guru pendidikan khas bukanlah guru biasa tetapi guru ini juga merupakan guru yang istimewa kerana tahap kebergantungan murid terhadap gur tersebut adalah melebihi murid-murid normal yang lain. Namun, seorang guru itu perlulah sentiasa bersikap husnuzon iaitu bersangka baik dalam setiap cabaran yang dilalui dan sentiasa ikhlas dalam mendidik. Sentiasa yakin walaupun banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi tetapi didiklah murid-murid berkeperluan khas dengan penuh tanggungjawab kerana mereka juga dahagakan ilmu seperti murid-murid normal yang lain sekaligus mempersiapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka mendepani arus pembangunan masa kini agar mereka dapat berdikari dan tidak sepenuhnya bergantung kepada keluarga mahupun ehsan orang lain.

Oleh itu, setelah kita mengkaji dan memperhalusi setiap isu atau masalah, impikasinya dan modus operandi yang boleh dilaksanakan maka jelaslah bahawa setiap pembaharuan yang dilaksanakan sudah pasti ada kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Semuanya terletak pada diri kita untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada dan terus menambah baik kelebihan atau kebaikan yang sedia ada seiring dengan pembangunan negara. Jika bukan kita iaitu barisan guru-guru berketerampilan tinggi, siapa lagi?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan